Isu popular mengatasi media popular

Dr Muhammad Atiullah Othman | .

IKTIBAR PILIHAN RAYA PRESIDEN AMERIKA II: ISU POPULAR MENGATASI MEDIA POPULAR

Ramai terkejut dengan kemenangan Donald Trump dalam Pilihan raya Presiden Amerika 2016 sekali gus merampas gelaran Presiden Amerika ke-45 dan tertua dalam sejarah. Kemenangan beliau mengejutkan kerana media popular sangat menghentam beliau dengan label yang sangat buruk terhadapnya.

Jolokan terhadap Trump sebagai perogol, rasis, samseng, buta sains dan metametik, jutawan tidak berhati perut, anti-immigran, anti-Muslim, anti-minoriti dan anti-LGBT sering dimuatkan dalam media perdana Amerika. Trump dilihat sebagai seburuk-buruk wajah calon presiden Amerika dalam sejarah dan tiada moral dalam kesemua siri kempen sepanjang tempoh berkempen.

Namun, Donald Trump sebenarnya telah mengatasi media popular dengan mengetengahkan isu-isu popular dalam negara Amerika. Sebenarnya, Trump benar-benar berjaya mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Amerika terutamanya bangsa utama dan majoriti Amerika iaitu bangsa kulit putih.

Trump berbicara mengenai ekonomi Amerika yang menurun di zaman Presiden Obama. Ekonomi Amerika dilihat dapat ditandingi dan di atasi oleh ekonomi China. Oleh demikian, Trump mengetengahkan isu ‘climate change’ iaitu isu pencemaran global yang telah diambil peluang oleh China untuk mengatasi sektor industri dan pembuatan Amerika.

Trump juga mempersoalkan salah guna kewangan negara dengan menyalurkan jutaan dolar Amerika kepada gerakan militan antarabangsa terutamanya Islamic State of Iraq and Syria (ISIS). Pendanaan ini menurut Trump telah menyebabkan Order Dunia terganggu dan mengakibatkan kekacauan bukan sahaja di Timur Tengah, bahkan telah merebak ke Eropah dengan isu peningkat migrasi masyarakat Muslim secara mendadak ke Eropah.

Isu migrasi ini adalah isu sejagat yang bakal menggugat kedaulatan negara-negara Eropah. Isu ini juga sedang dihadapi oleh Amerika Syarikat. Oleh demikian, Trump mencadangkan polisi imigrasion negara diperketatkan. Kemasukan negara-negara majoriti Muslim ke Amerika diperhalusi agar keganasan dapat dibendung. Bukanlah tujuan Trump menyekat sepenuhnya masyarakat antarabangsa ke Amerika tetapi atas dasar Amerika terselamat dari masalah persis malapetaka migrasi di Eropah.

Isu ini juga bersangkutan dengan migrasi masyarakat Mexico ke Amerika yang telah membawa banyak masalah pekerjaan dan sosial Amerika. Masalah ini menggugat ketenteraman masyarakat Amerika terutamanya bangsa kulit putih. Masalah ini adalah masalah utama di negara-negara maju dan membangun.

Masalah pekerjaan adalah masalah utama sehingga masyarakat Amerika sendiri perlu bersaing dengan masyarakat luar untuk mendapat kedudukan dalam pekerjaan. Masyarakat Amerika tidaklah mencatatkan pencapaian tinggi dari sudut akademik terutamanya bidang matematik dan sains yang tentu sekali dapat diatasi oleh masyarakat luar. Malah, kedudukan pakar sains Amerika juga telah diambil alih oleh ramai cerdik pandai masyarakat luar.

Situasi ini persis situasi yang dialami oleh negara-negara membangun. Oleh demikian, slogan-slogan Trump seperti ‘Menjadikan Amerika Terulung Lagi’, ‘Membina Dinding Pemisah Mexico’, ‘Menangani Keganasan Antarabangsa’ dan ‘Mengubah Perjanjian Ekonomi Antarabangsa’ merupakan slogan-slogan popular untuk mengembalikan kemegahan Amerika dan masyarakat bangsa kulit putih.

Justeru, Trump berjaya membawa isu kenegaraan bagi rakyatnya. Berbanding dengan Harry Clinton yang dianggap pejuang hak wanita, hak minoriti, hak LGBT, hak bangsa kulit hitam dan hak immigran. Tidak hairanlah Clinton mendapat banyak undi wanita, undi bangsa kulit hitam, Asia dan Hispanik.

Trump mendapat undi majoriti bangsa kulit putih dan kaum lelaki kerana Trump berjaya mengangkat isu-isu popular membabitkan ekonomi dan pekerjaan yang lebih penting dari hak wanita, hak asasi manusia dan hak minoriti. Tidak hairanlah Trump mendapat undi besar di kawasan-kawasan pedalaman dan luar bandar kerana majoriti masyarakat luar bandar sangat berminat isu ekonomi dan pekerjaan.

Oleh demikian, apabila Clinton menggunakan segala prasarana kerajaan dan media-media perdana bagi memengani pilihan raya ini, segala usaha Clinton tidak mampu menangani isu-isu popular yang diangkat oleh Trump. Malahan, cemuhan demi cemuhan tidak dapat memadamkan slogan-slogan Trump. Ini membuktikan isu-isu popular Trump berjaya mengenepikan media arus perdana.

Trump berjaya menjadi ahli politik yang berjaya dengan isu-isu dalaman negara. Walaupun Trump bermula dengan undi sedikit dalam pemilihan calon presiden Parti Republican, Trump akhirnya berjaya mengenepikan dua calon Republican yang lain dengan majoriti undi yang tidak membanggakan.

Begitu juga, walaupun Donald Trump tidak berjaya mengaut undi popular dengan hanya mengaut 47.5% undi berbanding Harry Clinton yang mengaut 47.7% undi, Trump telah berjaya dalam mengaut lebihan kerusi di Rumah Putih dan Majlis Senat. Kemenangan ini telah mengejutkan semua penganalisis politik yang meramalkan kemenangan Clinton bukan Trump. Ini merupakan petunjuk bahawa kuasa isu popular benar-benar kuat pengaruhnya berbanding kuasa media.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
Akademi al-Ghazali (ulamasedunia.org)

Share on Myspace