Fokus tadbir negara, bukan mengutuk lawan politik

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memberikan tumpuan kepada masalah ekonomi negara, terutamanya persepsi antarabangsa terhadap Malaysia dan nilai Ringgit daripada menghabiskan masa mengutuk tindakan politik lawan politiknya.

Sebagai Menteri Kewangan, rakyat mengharapkan sekurang-kurangnya Najib dapat memberi pembentangan pelan yang membawa ketenangan sekiranya nilai ringgit terus menjunam dalam suasana antarabangsa yang tidak menentu ekoran kejayaan Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Rakyat perlu mengetahui apakah langkah-langkah kerajaan untuk mengawal kenaikan inflasi dan kos sara hidup sekiranya nilai ringgit jatuh ke paras RM5 ke USD1?

Rizab Bank Negara berada pada paras RM405.5 bilion (bersamaan AS$97.8 bilion) setakat 31 Oktober 2016. Berapakah rizab Bank Negara yang telah digunakan Jumaat lalu ketika nilai Ringgit menjunam ke tahap RM4.72 ke USD1 sebelum pulih ke paras RM4.4 ke USD1?

Mengapa kerajaan memilih untuk menolak permintaan Switzerland bagi mendapatkan bantuan undang-undang bagi menyiasat dakwaan rasuah berkaitan 1MDB? Bukankah kerjasama ini akan dapat membantu sedikit sebanyak memulihkan persepsi antarabangsa terhadap negara?

Apa pula reaksi kerajaan terhadap kenyataan Unit Jenayah Kolar Putih Singapura yang mengenal pasti ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho sebagai orang penting dalam siasatan pengubahan wang haram yang melibatkan 1MDB?

Apakah kerajaan tidak mahu mengetahui lebih lanjut siapa di belakang Jho Low, dan bagaimana wang 1MDB telah dicuri?

Kepada anak-anak muda, di dalam suasana tidak menentu ini, kalian dinasihatkan tidak memilih pekerjaan dan menerima apa sahaja peluang yang ada. Ambil pengalaman kerana perjalanan anda semua masih jauh.

Gunakan ilmu yang ada bagi membina kesedaran masyarakat bahawa negara ini perlu diurus-tadbir dengan baik oleh mereka yang jujur, amanah dan bertanggungjawab terhadap jawatan yang Allah pikulkan ke atas bahu mereka. Daftarlah sebagai pengundi, barulah anda mempunyai kuasa dan hak anda untuk membuang pemimpin yang tidak jujur, amanah dan bertanggungjawab di Pilihan Raya Umum ke -4.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
14 November 2016 – HARAKAHDAILY 14/11/2016

Share on Myspace