Sejarah: PAS Kedah umum MB potong elaun untuk rakyat

MOHD FADLI GHANI | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: PAS KEDAH UMUM MENTERI BESAR POTONG ELAUN RM10 RIBU SEBULAN UNTUK RAKYAT (14 NOVEMBER 2008)

PADA hari ini dalam tahun 2008, PAS Kedah telah mengumumkan kepada PAS Kawasan-kawasan di Kedah bahawa Menteri Besar Kedah yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak telah memotong elaunnya sebagai Menteri Besar Kedah kebanyakkan RM10,000 sebulan dan ia disalurkan kepada agensi-agensi kerajaan untuk dikembalikan kepada rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Haji Hassan Abdul Razak pada 20 November 2008 telah memaklumkan kepada media bahawa pengumuman tersebut telah dibuat kepada pimpinan PAS Kawasan-kawasan dalam program taklimat dasar-dasar Kerajaan PR Kedah. Pengumuman ini telah dibuat ekoran fitnah yang tersebar mengatakan Menteri Besar Kedah itu hidup bermewah-mewah selepas menjawat jawatan ketua kerajaan itu.

Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bekas pensyarah kanan UKM merupakan seorang lulusan syariah dan undang-undang dari Universiti al-Azhar, Mesir dan memiliki ijazah sarjana dalam bidang undang-undang dari University of Kent.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah pelawat di Mindanao State University dan pensyarah sambilan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sebelum menjadi Menteri Besar Kedah selepas Pilihan Raya Umum 2008, beliau adalah ADUN Sala sejak 1996, sebelum menjadi ADUN Sungai Limau mulai 2004. Bekas Naib Presiden PAS yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak PAS ini kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-10 pada 9 Mac 2008 menggantikan Dato' Seri Mahadir Khalid setelah Barisan Alternatif (BA) yang menggabungkan PAS dan PKR berjaya menguasai DUN Kedah dalam Pilihan Raya Umum 2008. Setelah itu, kerajaan Kedah dikenali sebagai Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah ekoran penubuhan PR pada 1 April 2008 yang turut disertai oleh DAP.

Setelah beberapa bulan menjadi Menteri Besar, tersebar fitnah bahawa Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak telah hidup bermewah-mewah selepas menjawat jawatan tersebut, iaitu satu usaha musuh untuk memburuk-burukan nama beliau, sekali gus merosakkan imej Kerajaan PR Kedah.

Menurut Ustaz Haji Hassan Abdul Razak, sejak mula dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 9 Mac 2008, Ustaz Azizan Abdul Razak telah memutuskan supaya elaun bulanannya sebagai Menteri Besar Kedah dipotong sebanyak RM10,000 daripada RM14,100 sebulan yang dibayar oleh kerajaan. Elaun yang dipotong itu kemudiannya telah diagih-agihkan kepada agensi-agensi kerajaan bagi membolehkan ia dikembalikan untuk kepentingan rakyat, selain disalurkan kepada parti untuk menggerakkan aktiviti politik, dakwah dan tarbiyah.

Sebelum itu, pada 17 Mac 2008, Menteri Besar Kedah itu telah mengumumkan kepada media bahawa Kerajaan BA Kedah akan melaksanakan pemotongan elaun Menteri Besar dan anggota Exco Kerajaan Kedah pada kadar yang akan ditetapkan kemudian. Cadangan ini adalah berdasarkan janji dalam Manifesto PAS Kedah yang mahu melaksanakan dasar berjimat-cermat dalam perbelanjaan awam dengan memotong elaun dan keistimewaan yang tidak munasabah. Namun begitu, Ustaz Azizan Abdul Razak tidak pernah mendedahkan kepada media bilakah dasar baru ini akan dilaksanakan dan berapakah potong elaun yang dibuat, kerana ketika ini ia masih di peringkat kajian. Namun begitu, dasar tersebut telah dilaksanakan sejak bulan pertama PAS memimpin Kerajaan Kedah.

Menteri Besar Kedah itu dikatakan bertindak demikian kerana mengikuti jejak langkah Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah memotong 45 peratus daripada gaji untuk disalurkan kepada parti dan juga rakyat sejak tahun 1990. Begitu juga dengan tindakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang tidak mengambil elaun-elaun keistimewaan ketika menjadi Menteri Besar Terengganu antara 1999-2004. Memandangkan fitnah yang tersebar ini, dalam satu program taklimat dasar-dasar Kerajaan PR Kedah kepada PAS Kawasan-kawasan pada 14 November 2008, Pesuruhjaya PAS Kedah itu telah mendedahkan tindakan berjimat-cermat beliau yang sekali gus menolak fitnah yang tersebar sebelum ini. Menurut beliau, sebelum ini beliau merahsiakannya kerana "(hendak) berbuat baik tidak perlu dihebah-hebahkan."

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
14 November 2016 - HARAKAHDAILY 14/11/2016

Share on Myspace