Keperluan kepada BPMS demi rakyat dan negara

AHMAD AMZAD HASHIM | .

LATAR belakang dan sejarah budaya politik dari era penjajahan dipenuhi siri penaklukan, permusuhan, perperangan, perebutan kuasa dan pembolotan kekayaan oleh penjajah.

Kemerdekaan negara masih mewarisi latar belakang ini dengan budaya politik yang dibawa oleh parti politik konvensional bersifat budaya politik perkauman yang berasaskan bangsa dan warna kulit. Budaya politik emosi, kebencian dan permusuhan yang selalu mendorong insiden fizikal.

Budaya politik yang memperbesar-besarkan masalah dengan tujuan menghasut kebencian tetapi tiada penekanan kepada mencari kesepakatan dalam menyelesaikan masalah. Politiking, retorik, janji kosong, mainan fantasi melalui penciptaan persepsi, tidak berpijak realiti dan prinsip kebenaran. Politik Malaysia telah menjadi medan mengejar kedudukan, kemasyhuran dan kekayaan peribadi atau kelompok elit tertentu.

Ia menjadikan politik menjadi begitu kotor dan asing dari kemurnian politik Islam yang dibawa Rasulullah SAW.

Realiti latar belakang budaya masyarakat Malaysia pada hari ini secara umumnya lemah lembut dan menghargai akhlak yang bersopan santun.

Rakyat Malaysia yang berbagai bangsa, agama dan taraf hidup sudah bosan dan letih dengan karenah budaya politik yang kotor. Mereka mula merasa diperalat untuk kepentingan kelompok ahli politik tertentu.

Negara perlukan anjakan budaya politik kepada yang lebih matang, bertanggungjawab dan fokus kepada keharmonian serta kesejahteraan hidup rakyat kesemuanya tanpa mengira pegangan politik, agama, bangsa atau taraf hidup. Diskriminasi, pilih kasih, kronisma dan nepotisma perlu dihapuskan.

Maka atas premis ini PAS sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah Parti Islam yang berasaskan Dakwah, Tarbiyyah dan Siasah menerajui ajakan membudayakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS)

Faedah dan Kesan dijangka jika ia sama sama dapat dihayati dan dibudayakan di semua peringkat khususnya ahli dan penyokong PAS dan anjuran dihayati sama oleh seluruh rakyat Malaysia adalah seperti berikut:
1. Menggalakkan budaya politik berasaskan ilmu, fakta dan kebenaran.
2. Mengelakkan perselisihan dalam kalangan rakyat, huru hara, rusuhan dan anarki yang boleh menghancurkan negara dan musnahnya cita-cita Malaysia yang sejahtera.
3. Mengelakkan ketidakstabilan politik, sosial dan ekonomi negara.
4. Meningkatkan daya saing negara bila rakyat lebih fokus oleh adanya suasana yang harmoni dan sejahtera.
5. Memperkasa kuasa rakyat dalam politik.
6. Membendung parti politik sama ada dari pemerintah atau yang bukan memerintah memperalatkan rakyat dengan pelbagai manipulasi.
7. Menutup ruang kemasukan anasir asing dari mengambil peluang campurtangan urusan negara.

Definisi BPMS
Sebuah budaya politik yang berasaskan kepada kematangan dalam membuat keputusan dan tindakan berlandaskan al-Quran dan as-sunnah sesuai dengan realiti masyarakat, bermatlamatkan kesejahteraan rakyat, kemakmuran negara dan keredhaan allah.

Tujuh ciri asas BPMS
1. Politik bertunjangkan Prinsip
2. Politik dakwah, amar makruf dan nahi mungkar
3.Politik berasaskan penyelesaian Islam.
4. Politik mengutamakan rakyat.
5. Politik damai dan diplomasi
6. Politik kebenaran dan bukan mereka reka persepsi
7. Politik rasional dan profesional

BPMS adalah budaya politik Islam yang menjadikan syariat sebagai panduan. Ia sebetulnya apa yang diajar pimpinan dan ulama kita sejak dulu lagi tetapi dikaburkan oleh pengaruh budaya luar oleh kepelbagaian elemen yang meresap masuk dalam PAS selama ini.

Ia didokumentasikan secara lebih tersusun bagi memudahkan kefahaman ahli dan penyokong PAS serta ajakan agar diterima sama sebagai anjakan budaya yang baik untuk rakyat Malaysia dalam membentuk negara yang sejahtera.

PAS terbuka bekerjasama dengan sesiapa sahaja dalam membawa kebaikan untuk rakyat dan negara dengan pendekatan 'taawun' , tolong menolong dalam berbuat baik asal sahaja tahu menghormati prinsip dan dasar perjuangan PAS dan tidak khianat. – HARAKAHDAILY 14/11/2016

Share on Myspace