Mahkamah Anak Negeri wajar dinaik taraf juga

JOFRI JARAIEE | .

MAHKAMAH Anak Negeri telah ditubuhkan dan beroperasi selama lebih 141 tahun di Sarawak sekarang. Mahkamah Anak Negeri Sarawak ditubuhkan di bawah Ordinan Mahkamah Anak Negeri, 1992 sebagai institusi kehakiman negeri.
 
Mahkamah Anak Negeri berfungsi sebagai Unit di bawah Jabatan Ketua Menteri. Fungsi utama Mahkamah Anak Negeri adalah untuk mendengar dan memutuskan apa-apa pertikaian ke atas apa-apa perkara atau mengakibatkan antara anak negeri yang tertakluk kepada mana-mana sistem undang-undang peribadi dan penentuan pertikaian itu adalah berdasarkan kepada undang-undang Adat atau adat.
 
Fungsi lain adalah untuk mendengar dan memutuskan apa-apa permohonan daripada mana-mana bukan anak negeri yang memohon untuk dikenal pasti sebagai anak negeri bagi tujuan memperoleh tanah anak negeri atau tanah adat Bumiputera melalui warisan.
 
Enakmen ini adalah khas terpakai hanya di Negeri Sarawak sahaja. Enakmen ini telahpun diwartakan dan dipinda pada tahun 1992. Enakmen ini ada dinyatakan di dalam Perlembagaan Malaysia iaitu di dalam Perkara 161 A mengenai kedudukan istimewa anak Negeri Sabah dan Sarawak terutamanya di dalam fasal 5.
 
Ramai cendekiawan Dayak mahu melihat Mahkamah Anak Negeri (atau Mahkamah Bumiputera) untuk dinaik taraf dari segi fungsinya supaya ia boleh menjadi setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Syariah.
 
Mereka bersetuju bahawa ramai orang Dayak masih bergantung kepada Mahkamah Anak Negeri mengenai pelbagai perkara pada adat tradisional atau keadilan; dengan itu mewajarkan Mahkamah Anak Negeri untuk memainkan peranan yang lebih besar dan relevan.
 
Mereka mengulangi apa yang Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum berkata dalam ucaptama pada bengkel mengenai isu-isu sekitar Mahkamah Anak Negeri yang diadakan di sebuah hotel di Kuching pada hari Sabtu lalu, yang telah dianjurkan oleh Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA ).
 
Kebebasan agama diabadikan dalam Perlembagaan Malaysia. Pertama, Fasal 11 menetapkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan dan menjalankan agamanya dan kedua, Perlembagaan juga menetapkan bahawa Islam adalah agama persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh dipraktikkan dalam damai dan harmoni (Perkara 3).
 
Kita menghormati dan tidak menentang sebarang cadangan untuk kaum Dayak memperkasakan Mahkamah Anak Negeri begitu juga hasrat Umat Islam yang ingin memperkasakan perundangan Mahkamah Syariah. Sekarang ini pun kuasa Mahkamah Syariah lebih rendah dari Mahkamah Sesyen.  

Mahkamah Syariah tidak boleh menjatuhkan hukuman mati dan Mahkamah Sesyen juga tidak boleh mendengar kes-kes rayuan. Umat Islam juga mahu Mahkamah Syariah setaraf dengan Mahkamah Tinggi Sivil seperti cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355.
 
Kita mengesa agar kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan boleh memberi kebebasan kepada setiap penganut untuk melaksanakan perundangan mengikut adat dan budaya masing-masing tanpa ada sekatan. Kalau perkara ini dapat dilaksanakan dengan baik maka tiada timbul masalah antara penganut dan adat budaya masing-masing yang tiada kaitan dengan perundangan Mahkamah Anak Negeri kerana ia tertakluk dengan enakmen Mahkamah Anak Negeri Sarawak.
 
Tiada masalah untuk kita menerima cadangan dari kaum Dayak di Sarawak untuk memperkasakan Mahkamah Anak Negeri seperti mana mereka ingini. Sama-sama kita menghormati budaya dan adat perundangan masing-masing agar tidak timbul perselisihan faham antara satu sama lain supaya kita dapat hidup aman dan harmoni. – HARAKAHDAILY 14/11/2016

Share on Myspace