Hepatitis C: Malaysia perlu segera import rawatan

SM MOHAMED IDRIS | .

HEPATITIS C boleh diubati, malangnya beribu pesakit Malaysia tidak mempunyai akses untuk merawat penyakit yang amat berjangkit ini.
 
Data menunjukkan lebih daripada 500,000 rakyat Malaysia hidup dengan virus Hepatitis C (HCV). Kebanyakan mereka yang dijangkiti dengan HCV tidak menyedari status mereka sehingga ke tahap penyakit hati, kegagalan hati atau kanser. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 150 juta orang di seluruh dunia mengalami jangkitan Hepatitis C kronik dan 500,000 orang mati setiap tahun.
 
Sehinggalah baru-baru ini, rawatan Hepatitis C adalah berasaskan kepada terapi dengan pegylated interferon dan ribavirin, yang hasil rawatannya amat lemah dan disusuli dengan kesan sampingan yang mengancam nyawa.

Ubatan baharu yang bertindak sebagai antiviral telah merevolusikan rawatan HCV, dengan kadar penyembuhan melebihi 90%, tempoh rawatan yang lebih pendek dan profil keselamatan yang baik. Rejim baharu antiviral ini adalah dengan tempoh 12 atau 24 minggu boleh menyembuhkan penyakit.
 
Kekuatan utama dalam rawatan HCV ialah ubat sofosbuvir. Bagaimanapun, perbadanan farmaseutikal multinasional, Gilead, menjualnya pada harga yang amat tinggi, memandangkan syarikat ini menikmati monopoli pasaran disebabkan oleh paten dan data eksklusif.
 
Gilead mengadakan perjanjian pelesenan dengan beberapa syarikat ubat generik yang membenarkan syarikat itu untuk mengeluarkan dan menjual sofosbuvir generik kepada 101 negara membangun, tetapi aturan ini tidak termasuk Malaysia, oleh itu menjadikan amat sukar bagi Malaysia untuk mendapat akses kepada rawatan HCV yang berpatutan.
 
Gilead menjual Sovaldi (nama jenama bagi sofosbuvir) di Amerika Syarikat dengan harga AS$64,680, di Perancis AS$41,885 dan di Brazil AS$6,875. Pada 2015, seorang pesakit di sebuah hospital swasta, yang mendapat kebenaran untuk mengunakan ubat itu, dikenakan bayaran RM385,000 untuk rawatan selama 24 minggu.

Menurut sumber, Sovaldi pada masa ini dijual di Malaysia dengan harga RM144,000 untuk rawatan selama 12 minggu. Pada harga ini, rawatan Hepatitis C yang dapat menyelamatkan nyawa adalah di luar jangkauan kebanyakan rakyat Malaysia.
 
Laporan WHO mengenai akses kepada rawatan Hepatitis C mendedahkan bagaimana negara membangun seperti Mesir berjaya untuk merawat sekitar 670,000 orang dengan ubat antiviral baharu pada 2015 dan 2016. Disebabkan oleh persaingan generik, sofosbuvir boleh diperoleh di Mesir dengan harga serendah AS$150.
 
Sofosbuvir generik dengan harga yang berpatutan juga boleh diperoleh dari negara seperti India dan Bangladesh. Contohnya, di India sofosbuvir generik boleh diperoleh dengan harga kira-kira AS$300 untuk rawatan selama 12 minggu.
 
Bagaimanapun, disebabkan oleh tiadanya tindakan yang diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, pesakit di negara ini tidak mempunyai akses kepada sebarang rawatan yang berpatutan ini.
 
Pada masa ini, Kementerian Kesihatan sedang menjalankan ujian klinikal dengan inisiatif Ubatan bagi Penyakit yang Diabaikan dan Pharco Farmaseutikal bagi kombinasi sofosbuvir dan ravidasvir pada harga kurang daripada AS$300. Satu langkah yang boleh dipuji, tetapi ujian klinikal ini hanyalah untuk 600 pesakit, yang tidak mencukupi untuk menangani skala jangkitan HCV di Malaysia.
 
Malaysia memerlukan akses yang segera kepada rawatan Hepatitis C yang berpatutan jika kita mahu merawat beratus ribu pesakit yang dijangkiti dengan HCV. Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan segera untuk mendapatkan akses kepada sofosbuvir yang berpatutan.
 
Satu pilihan yang jelas boleh didapati ialah kerajaan menggunakan kelonggaran yang didapati dalam Akta Paten Malaysia dan mengeluarkan lesen “kegunaan kerajaan” untuk mengimport sofosbuvir generik yang berpatutan untuk kegunaan di hospital kerajaan.
 
Mengingat kembali laporan oleh Panel Peringkat Tertinggi Setiausaha Agung PBB mengenai Akses kepada Ubatan dengan jelas menyarankan ahli negara Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), seperti Malaysia, menggunakan sepenuhnya kelonggaran yang dibenarkan dalam peraturan harta intelektual WTO untuk menggalakkan akses kepada teknologi kesihatan apabila perlu.
 
Banyak nyawa sedang terancam dan tiada alasan lagi untuk menunggu.
 
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan supaya bertindak sekarang untuk mendapatkan akses kepada rawatan yang berpatutan untuk penyakit yang berpotensi membawa kepada kematian. – HARAKAHDAILY 15/11/2016

Share on Myspace