Kejatuhan nilai Ringgit, perlukan penyelesaian baru

SYAHIR SULAIMAN | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyedari akan kebimbangan awam berkaitan kejatuhan nilai Ringgit dalam situasi terbaru ketidaktentuan pasaran global, khususnya pasca keputusan pilihan raya di Amerika Syarikat.

Pada 13 November, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil langkah proaktif dengan mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing sedia ada (Foreign Exchange Administration) dan menghindari daripada terlibat dalam urus niaga yang boleh dikaitkan dengan aktiviti spekulatif di pasaran luar pesisir.

Tindakan ini turut disokong oleh YB Ketua Pemuda PAS pada 14 November, dengan memberi kredit terhadap ketelusan dan profesionalisma pasukan BNM, di samping menyeru agar rakyat dan pelabur meletakkan keyakinan terhadap tindakan BNM dan mengelakkan sebarang spekulasi yang tidak berasas.

Saranan DPPM ini adalah bertepatan dengan prinsip kebebasan Dasar Monetari di bawah autoriti Bank Negara Malaysia, yang perlu diberikan sepenuh kepercayaan bagi mengurus pasaran kewangan dalam negara, antaranya dengan mengawal selia aktiviti perbankan, pengeluaran wang, penetapan kadar polisi, dan rizab matawang asing.

Dalam masa yang sama, DPPM menyaran agar pihak Menteri Kewangan yang bertanggungjawab terhadap Dasar Fiskal untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi mewujudkan suasana ekonomi yang kondusif kepada rakyat khususnya dalam aspek percukaian dan subsidi, sebagaimana yang sering dibangkitkan dalam sesi perbahasan Bajet 2017 di parlimen.

Selain itu, DPPM berpendapat inilah masa yang sangat sesuai agar BNM mengkaji dan mengemukakan kerangka Dasar Monetari Islam yang lebih komprehensif, sebagaimana yang telah dilontarkan oleh Umar Chapra di dalam bukunya berjudul ‘Towards a Just Monetary System’ (1985) dan para cendekiawan kontemporari seperti Nejatullah Siddiqi (1980), Mohsin Khan dan Abbas Mirakhor (1987).

DPPM berharap institusi penyelidikan kewangan Islam di bawah naungan BNM seperti INCEIF dan ISRA dapat merealisasikan pendekatan Dasar Monetari Islam secara praktikal, khususnya dalam aspek memobilisasi simpanan, menghapuskan riba’, pembiayaan ekuiti, dan matawang bersandarkan emas, agar ianya dapat direalisasikan dalam konteks ekonomi semasa yang memerlukan dimensi baru penyelesaian.

"Bertekad Melebar Muafakat"
"Inilah Penyelesaian Kita"

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia
15 November 2016 | 15 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 15/11/2016

Share on Myspace