PAS Kelantan turut simpati terhadap Rafizi

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: PAS Kelantan turut melahirkan rasa simpati terhadap anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen.

Beliau didapati bersalah kerana memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysian Development Berhad pada Mac lepas.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata ekoran keputusan mahkamah tersebut menyebabkan pembangkang hilang keberanian untuk bersuara di Parlimen demi membela hak rakyat.

“Tetapi apa boleh buat itu sudah keputusan mahkamah. Kita berharap Rafizi akan dibebaskan di Mahkamah Tinggi nanti melalui rayuannya, sama-sama kita doakan,” katanya selepas menghadiri majlis meraikan persaraan, pertukaran pegawai Jabatan Pertanian Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara satu setengah tahun terhadap Rafizi atas tuduhan membocorkan maklumat berhubung laporan audit 1MDB, yang diklasifikasikan sebagai sulit.

Hakim Zulqarnian Hassan menetapkan hukuman 18 bulan untuk dua pertuduhan yang dijalankan serentak. – HARAKAHDAILY 15/11/2016

Share on Myspace