Kenapa relakan diri diperbodohkan Mahathir?

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

TARIKH 1 Mac 2016, untuk ke sekian kalinya, Tun Mahathir mengumumkan keluar parti. Taktik sama yang pernah dibuat semasa protes terhadap Tun Abdullah Badawi dahulu. Apa pula yang bakal dilakukan selepas ini, kita pun sukar untuk menjangka. Tapi keluar masuk parti bukanlah perkara besar bagi dirinya. Cuma bagi yang cetek jangkauan politiknya sahaja melihat ia satu tsunami gergasi.

Orang tua itu memang licik berpolitik. Tak padan dengan usianya yang hampir mencecah satu kurun. Langkahnya sentiasa mengejutkan dan kontroversial. Sampaikan yang muda pun boleh terkena 'serangan jantung' dan tersentak urat otak. Terus terpukau dengan gerak tarinya, dan terus lupa siapa diri dia sebenar.

Tun M perlu diakui sebagai antara pencatur utama politik negara. Walaupun tanpa kuasa politik, tetapi pengaruhnya berjaya menundukkan ramai pemegang kuasa. 22 tahun sebagai PM, pasti dimana-mana sahaja orang kuatnya wujud. Anwar, Najib, Mat Sabu, Lim Kit Siang mahupun siapa sahaja pasti tenggelam apabila Tun memainkan peranannya.

Siapa yang kenal Tun M sebenarnya, nescaya dia akan tahu apa matlamat beliau dalam politik. Walaupun lidahnya sentiasa mengungkap keprihatinan terhadap negara, tetapi di sebalik itu adalah cita-cita pengukuhan terhadap dinasti kroninya sendiri.

Sepanjang karier politik Tun M, sudah banyak kali Umno dipergunakannya. Tahun 1969, beliau pernah dipecat dari Umno atas surat protesnya terhadap Tunku Abdur Rahman. Namun tahun 1972 selepas Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau kembali menyertai Umno.

Atas percaturannya, pada tahun 1981 Tun Hussein Onn meletakkan jawatan Perdana Menteri menjadikannya PM paling singkat dalam sejarah iaitu tidak sampai 6 tahun. Tun Hussein menyerahkan jawatan PM kepada Mahathir.

Bermulalah era autokratiknya dengan kekebalan yang dicipta sendiri. Pada zamannya dipinda Akta AUKU, akta keselamatan dalam negeri, diaktifkan ISA, sekatan kebebasan akhbar, tangkapan politik besar-besaran, memansuhkan hak raja-raja Melayu hinggalah kepada tragedi pembunuhan musuh politiknya di Memali. Dengan tindakannya itu, beliau berjaya menyandang gelaran PM paling lama berkuasa.

Sepanjang tempoh itu, terbinalah empayarnya yang sangat besar. Berbagai jenis syarikat gergasi didaftarkan atas nama anak-beranak beliau. Berpuluh-puluh jawatan-jawatan penasihat anak syarikat kerajaan mahupun swasta disandang oleh keturunan beliau. Apa jua lapangan dan industri, tentu ada nama kaum kerabatnya yang tersenarai.

Antara peristiwa besar bagi Umno yang berlaku pada zamannya adalah pengharaman parti itu sendiri. Ini berlaku akibat protes penyokong Ku Li terhadap Mahathir yang didakwa menang jawatan Presiden secara tidak sah. Kes tersebut dibawa ke mahkamah lalu akhirnya Umno diharamkan.

Mahathir kemudiannya menubuhkan Umno baru beberapa bulan selepas itu dengan Mahathir berdaftar sebagai ahli yang pertama. Krisis dalaman Umno terus selesai selepas itu. Walaupun pengharaman Umno berpunca dari salah lakunya, tetapi beliau bijak memutar fakta sehingga ahli melihat dalang pengharaman tersebut adalah daripada sekumpulan 11 orang yang memprotes salah laku dalam pemilihan Umno waktu itu.

Walau bagaimanapun, kerana kebencian rakyat yang dibina begitu lama sepanjang 22 tahun sebagai PM, akhirnya tahun 2003 beliau terpaksa meletak jawatan dan diserahkan kepada Timbalannya Tun Abdullah. Tetapi sebelum menyerahkan jawatan, Tun M sudah memasang orangnya iaitu Najib Razak sebagai Timbalan Pak Lah.

Sejak Pak Lah menjadi PM, Tun M sentiasa mengganggu pentadbiran negara sehingga pada tahun 2008, beliau mengisytiharkan keluar Umno sebagai protes. Umno pada waktu itu sudah sangat tenat kerana 5 buah negeri jatuh ke tangan pembangkang serentak. Tindakan keluar parti itu berjaya membuatkan ahli menyalahkan Pak Lah sehingga memaksa dirinya berundur.

Seperti dirancang, anak buah Mahathir iaitu Najib menjadi penggantinya. Mahathir kembali kepangkuan Umno. Selepas Pak Lah yang dikambinghitamkan sebagai perosak parti dijatuhkan, parti itu kembali stabil. Dua buah negeri yang sebelum ini diperintah pembangkang kembali dirampas parti tersebut.

Hari ini, setelah melihat kegagalan Najib Razak mengekalkan kepercayaan rakyat, ditambah sikap Najib yang lunak dengan rancangan Konsensus Nasional dari musuh utamanya iaitu Anwar Ibrahim, Mahathir menarik kembali sokongan terhadap Najib. Walau bagaimanapun Najib juga tidak mudah mengalah. Maka berlakulah apa yang kita lihat hari ini.

Setiap tindakan besar Mahathir terhadap Umno menjadi sangat popular. Dan selepas setiap tindakannya itu, Umno kembali stabil dan memiliki kekuatan yang padu untuk menarik kembali sokongan rakyat yang hilang. Walaupun beberapa kali melakukan hal sama, namun rakyat terutama ahli Umno mudah terperdaya.

Lebih kelakar, pihak yang selama ini mendabik dada sebagai penentang Umno turun-temurun pun turut terikut-ikut dengan tiupan seruling tipudayanya bagai ular tedung yang bergelek dengan tiupan seruling Punjabi. Mereka menjadi pihak yang mendokong penuh setiap rancangan Mahathir memulihkan sokongan terhadap Umno.

Segala kelakuan Mahathir selama ini begitu mudah dilupakan seolah-olah dipukau oleh orang tua tersebut, meletakkan kesalahan 100% ke atas musuh politik Mahathir sahaja dan lainnya terus bersih sesuci malaikat subuh.

Dalam bersih 4 yang menuntut keadilan pilihan raya, beliau hadir secara mengejut lalu diangkat sebagai wira sehingga menenggalamkan matlamat asal bersih 4. Padahal dalam ucapannya, secara jelas beliau menyatakan beliau hadir bukan untuk menyokong tuntutan bersih, tetapi sekadar menyatakan bantahan terhadap musuh politik semasanya iaitu Najib.

Kini team Mahathir merancang himpunan menjatuhkan Najib pula. Selepas gagal memobilisasi orang Melayu untuk turun bersama Bersih 4, sesetengah pembangkang yang gelojoh berkuasa lekas bergabung dengan team Mahathir dengan harapan pengaruh orang tua itu mampu meraih penglibatan Melayu yang selama ini ditagih.

Namun, mereka cukup kecewa apabila PAS tidak mahu bersekongkol dengan rancangan Mahathir menyelamatkan Umno. Mereka tahu, tentu sukar menyeru kehadiran orang Melayu tanpa PAS. Diserang bertubi-tubi Presiden PAS kononnya sayangkan Umno, walaupun sebenarnya merekalah yang jadi keldai penyelamat Umno tanpa sedar.

Sampai bila lagi mahu jadi boneka Mahathir? Selagi mana kebencian terhadap individu dijadikan sasaran politik, bukan kerana dasarnya atau pertubuhannya. Selagi kuasa jadi matlamat, bukan lagi nasib rakyat.

Tidak perlulah lagi layan Mahathir itu. Biarlah beliau berhempas pulas bersama ahli Umno menyelesaikan masalah mereka sendiri. Mahathir tidak akan mengalah. Najib juga nampaknya bukan seperti Tun Hussein dan Tun Abdullah.

Biarlah mereka terus bertelagah. Kita orang luar tidak perlu memihak kepada sesiapa. Tanpa penglibatan pihak luar, sudah tentu Umno lebih cepat runtuh dan binasa. Tapi bila orang luar masuk sekali ke gelanggang, pasti Mahathir gunakan mereka untuk ditunggang bagi menjimatkan tenaganya! – HARAKAHDAILY 16/11/2016

Share on Myspace