Elakkan aktiviti air sepanjang musim tengkujuh

DR AZMAN IBRAHIM | .

Khidmat Malaysia Terengganu menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti air atau menghampiri tempat berisiko seperti sungai, air terjun dan pantai negeri ini sepanjang musim tengkujuh ini.  

Keadaan yang cuaca tidak menentu dan fenomena ombak besar yang boleh mencecah setinggi 3.5 meter boleh berlaku bila-bila masa yang mendatangkan risiko bagi orang ramai dan pelancong yang melakukan aktiviti air ketika ini.

Tak terkecuali risiko kejadian kepala air di kawasan air terjun. Beberapa lokasi air terjun di Terengganu seperi Air Terjun Belukar Bukit, Air Terjun Sekayu, Air Terjun Lata Belatan dan Air Terjun Lata Tembakah berada dalam senarai kawasan berisiko dilanda fenomena kepala air yang boleh mendatangkan bencana kepada nyawa.

Peningkatan paras air sungai dan perubahan arus yang menjadi semakin deras adalah sangat berbahaya. Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak agar tidak menjadi penyesalan yang memilukan di kemudian hari.

Jangan kita memandang remeh akan kuasa air. Orang ramai terutamanya pelawat dan pelancong dari luar Terengganu perlu peka dengan keadaan cuaca dan persekitaran sebelum melakukan aktiviti di tempat seperti itu.

Kita berdoa  semoga tragedi pilu Air Terjun Belukar Bukit dan tragedi lemas di Pantai Rhu 10, Setiu pada tahun lepas tak berulang lagi pada tahun ini.

Dr Azman Ibrahim
Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Terengganu
16 November 2016 - HARAKAHDAILY 16/11/2016

Share on Myspace