Apa lebihnya ECRL daripada lebuh raya Pan Borneo?

JOFRI JARAIEE | .

MALAYSIA telah memeterai perjanjian untuk membina Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) dengan pembiayaan melalui pinjaman mudah daripada Export-Import (Exim) Bank of China. Projek yang dianggarkan bernilai RM55 bilion itu adalah salah satu daripada projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia ke-11.
 
Persoalannya mengapa projek yang menelan belanja berbilion ringgit ini diberi keutamaan di Semenanjung Malaysia sedangkan rakyat Sarawak dan Sabah amat memerlukan laluan lebuh raya Pan Borneo Sarawak - Sabah sepanjang 1,089 kilometer ini perlu diberi keutamaan daripada keperluan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Mengapa Perdana Menteri Malaysia masih sanggup berhutang semata-mata untuk membina ECRL ini dalam keadaan kegawatan ekonomi negara masa kini.
 
ECRL ini merupakan jaringan perkhidmatan tren baru itu yang bakal merentasi Banjaran Titiwangsa yang melibatkan laluan sepanjang kira-kira 600 kilometer (KM) melalui beberapa bandar seperti Gombak, Mentakab, Jengka, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat Kelantan.
 
Pantai Timur sudah memiliki jaringan Lebuhraya Pantai Timur yang cukup baik malahan mempunyai rangkaian penerbangan dari Kuala Lumpur, Subang dan Pulau Pinang melalui Lapangan Terbang Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan. Sedangkan Sarawak masih jauh ketinggalan dan tidak mempunyai rangkaian pengangkutan jalan darat yang baik malah rangkaian penerbangan juga agak terhad terutama di pekan-pekan kecil seperti Lawas, Mukah dan di pedalaman Baram.
 
Malah kawasan ekonomi impak tinggi seperti Miri, Bintulu dan Sibu pun masih mempunyai jaringan penerbangan yang terhad dan keadaan jalan yang masih teruk disebabkan jalan laluan lori balak dan kenderaan berat yang menyebabkan jalan beralun dan rosak. Sepatutnya lapangan terbang Miri dinaik taraf sebagai lapangan antarabangsa yang mempunyai rangkaian penerbangan terus ke luar negara.
 
Mungkinkah Najib terdesak sekarang untuk mengekalkan kuasa dengan memberi tumpuan di kawasan yang kuat pembangkang seperti di Pantai Timur seperti negeri yang dikuasai oleh PAS berbanding dengan pengundi tegar Barisan Nasional di Sarawak. Bagaikan habis madu, sepah dibuang, begitulah nasib rakyat Sarawak yang setia dengan kerajaan BN tetapi nasib mereka terus terpinggir.
 
Walaupun Ketua Menteri Sarawak pernah menuntut berbagai peruntukan untuk pembangunan di Sarawak tetapi Perdana Menteri seperti tidak ambil kesah dengan pemohonan Ketua Menteri Sarawak itu.
 
Rakyat Sarawak harus bangkit menentang ketidakadilan ini kerana mereka sering mengabaikan keperluan asas rakyat Sarawak. Fokus yang jelas mereka memberi keutamaan dan pembangunan di Semenanjung Malaysia tatkala Sarawak terus menjadi simpanan tetap BN pusat yang jelas mengabaikan keperluan rakyat Sarawak. Sampai bila hendak melihat Sarawak maju kalau terus terpinggir begini.
 
Kerajaan Sarawak juga perlu memberi keutamaan kepada anak negeri Sarawak yang tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan tempat mereka mencari rezeki.  Kerajaan Sarawak juga perlu ingat yang sumber hasil utama datang dari Sarawak dan sepatutnya Sarawak sudah boleh jadi negara maju setanding dengan negara maju lain seperti Singapura sekiranya ditadbir dengan baik dan adil.

Kerajaan yang adil adalah kerajaan yang tidak menyalahgunakan kuasa dan tidak merampas hak rakyat dengan memberi kemudahan kepada korporat dan pelabur asing untuk mengaut keuntungan semata-mata. – HARAKAHDAILY 16/11/2016

Share on Myspace