GCF: Apa yang telah dibuat oleh Malaysia?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaari mempersoalkan tindakan kerajaan seolah-olah melengah-lengahkan usaha dalam menangani perubahan iklim negara.

Katanya, penangguhan usaha itu antaranya mengakibatkan banjir besar pada 2014 yang membawa kerugian berjuta-juta ringgit.

Merujuk kepada laporan Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang mendakwa Malaysia ketinggalan dalam menggunakan peruntukan Kewangan Antarabangsa yang disediakan oleh Green Climate Fund (GCF).

Sedangkan katanya, banyak negara lain telahpun mengemukakan cadangan peruntukan kewangan kepada GCF.

"Apakah cadangan dan jumlah peruntukan yang telah dibuat oleh Malaysia sebagai bukti komitmen terhadap Perjanjian Paris?

"Negara Vietnam contohnya telah diluluskan permohonannya oleh GCF dengan dana AS29.75 juta bagi meningkatkan daya tahan masyarakat pesisir pantai yang terdedah kepada kesan perubahan Iklim," soalnya ketika membahaskan bagi butiran di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Dewan Rakyat hari ini.

Bahkan katanya, sehingga hari ini masih belum mendapat kepastian tentang cadangan daripada pihak kerajaan baik berupa geran kesediaan mahupun cadangan projek.

"Mohon dinyatakan alasan penangguhan dan kelewatan tindakan, ini penting kerana kita telah ketinggalan berbanding negara-negara lain seperti Kemboja,  Vietnam dan Laos," tegas beliau.

Beliau juga meminta kerajaan menyatakan anggaran rasmi kerugian yang dihadapi dari gelombang panas dalam masa yang sama rakyat merasai kesannya.

"Rakyat terpaksa memasang penghawa dingin dan membayar lebih untuk penggunaan elektrik, malahan ada yang terpaksa tidur menggunakan tiga buah kipas untuk satu bilik, mandi lebih lama dan acapkali serta minum air lebih banyak.

“Mohon juga dinyatakan kesan langsung dan tidak langsung kepada kehidupan rakyat akibat kejadian gelombang panas?"ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/11/2016

Share on Myspace