Bersih 5: Tiada kerahan anggota Jabatan Amal

HARAKAHDAILY | .

Selari dengan keputusan pimpinan tertinggi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk tidak menyertai perhimpunan Bersih 5 pada 19 November 2016 di Kuala Lumpur, maka dengan ini pihak Jabatan Amal Malaysia memaklumkan bahawa tiada arahan kepada anggota Jabatan Amal Malaysia untuk bertugas mahupun menyertai perhimpunan Bersih 5 sekalipun Jabatan Amal Malaysia merupakan tunjang utama perhimpunan Bersih, Bersih 2 dan Bersih 3.

Jabatan Amal Malaysia juga dengan ini memberi amaran sekiranya terdapat mana-mana individu yang bukan anggota Jabatan Amal Malaysia memakai mana-mana pakaian seragam Jabatan Amal Malaysia, memakai apa-apa juga bentuk pakaian atau topi yang mempunyai lambang atau nama Jabatan Amal Malaysia serta divisyen di bawahnya iaitu Kadet Amal, Briged Amal dan Unit Amal pada himpunan Bersih 5, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu tersebut.

Pihak Jabatan Amal Malaysia juga tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerugian, kerosakan dan kecederaan yang diakibatkan daripada tindakan individu yang menyamar sebagai anggota Jabatan Amal Malaysia semasa perhimpunan Bersih 5.

“BERAMAL KERANA ALLAH”

MOHD NAZREE MOHD ARIS
Ketua Pengarah,
Jabatan Amal Malaysia
16 November 2016 | 16 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 16/11/2016

Share on Myspace