PGBF: Kerajaan patut tukar kepada sistem sewa beli

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

PROJEK PERUMAHAN GENERASI BAHARU FELDA: KERAJAAN PATUT TUKAR KEPADA SISTEM SEWA BELI

Dalam sidang pada pagi ini, saya telah meminta Perdana Menteri (dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri) menyatakan status semasa projek pembangunan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang menelan belanja keseluruhan RM1.5 bilion seperti yang telah dijanjikan oleh YAB Perdana Menteri menerusi Bajet 2013 beberapa tahun lalu.

Sepatutnya, Kerajaan membina 20,000 unit rumah PGBF dalam tempoh lima tahun (2013-2017) sementelah lagi Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah turut memberikan jaminan bahawa keseluruhan projek itu dapat disiapkan dalam tempoh empat tahun, iaitu setahun lebih awal daripada yang disasarkan.

Namun, YB Menteri menjelaskan sebentar tadi bahawa masih terdapat baki sebanyak 11,530 unit rumah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM899 juta belum dibina dan  projek pembinaannya hanya akan dimulakan pada awal 2017 setelah keputusan berkaitan pemilihan pemaju/kontraktor dimuktamadkan akhir tahun ini sedangkan pada September 2016, Pengerusi Felda telah memberikan jaminan ia akan dimulakan seawal hujung tahun ini juga.

Pada Oktober 2015 juga, Pengerusi Felda telah menyatakan bahawa model perumahan tersebut sudah siap dan banyak syarikat menawarkan diri untuk menjalankan projek dan perkara itu akan diuruskan oleh pihak pengurusan. Peliknya, selepas setahun, sehingga ke hujung tahun ini baru perkara ini boleh dimuktamadkan.

8,470 unit rumah yang dikatakan telah siap dibina pula belum diserahmilikkan kepada generasi baharu Felda yang berkenaan.

Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh YB Datuk Razali bin Ibrahim, beliau mengakui bahawa kelewatan projek ini siap daripada jadual asal dan belum diserahkan kepada penerima adalah disebabkan beberapa faktor. Menurut beliau, antaranya ialah berkenaan isu kelayakan generasi baharu untuk mendapatkan pinjaman daripada bank.

Sememangnya generasi baharu Felda ini bukanlah golongan yang mempunyai kemampuan kewangan yang besar kerana itu mereka tergolong di bawah kategori B40.

Oleh itu, Kerajaan sepatutnya mengenakan sistem sewa beli kepada mereka; iaitu Kerajaan membina dahulu rumah, kemudiannya menyewakan kepada mereka selama tempoh tertentu, dan seterusnya mereka diberikan pemilikan sepenuhnya ke atas rumah tersebut.

Felda juga boleh mengaplikasi konsep Sukuk Ijarah sebagaimana yang dicadangkan PAS menerusi Dokumen Hijau bagi menyelesaikan isu rumah mampu milik dalam kalangan generasi baharu Felda ini. Sukuk Ijarah adalah satu instrumen pembiayaan kewangan berlandaskan syariah bagi pemilikan aset.

Ia membuka peluang kepada seseorang individu memiliki aset dengan bayaran ansuran menerusi konsep perkongsian dan pelaburan bersama untuk membeli aset itu antara individu tersebut dan anggota masyarkat lain khususnya mereka yang mempunyai kelapangan kewangan. Aset itu setelah dibeli akan disewakan kepada individu tersebut menggunakan konsep sewa kemudian beli. Konsep ini akan memberikan keuntungan kepada pelabur dan memberi peluang pemilikan kepada individu tersebut secara ansuran. Ia juga boleh mengelakkan kenaikan melampau kepada harga sebenar aset menerusi pembiayaan bank.

Kini, telah melebihi tempoh 4 tahun. Namun, generasi baharu Felda masih belum dapat menduduki rumah yang telah dijanjikan untuk mereka.

Persoalannya juga ialah apakah yang akan berlaku dengan peruntukan RM200 juta yang diumumkan dalam Bajet 2017 baru-baru ini kononnya untuk pembangunan infrastruktur rumah generasi baharu Felda dalam keadaan 20,000 unit ini masih belum selesai sepenuhnya?

Adalah sangat dibimbangi sekiranya projek ini juga mengalami nasib sebagaimana banyak lagi projek-projek pembangunan yang tertangguh dan terlewat yang dibuat oleh Kerajaan sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan kos dan ketirisan.

Generasi baharu Felda sudah lama menanti. Sampai bila mereka boleh bersabar?

”Inilah Penyelesaian Kita”

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
16 November 2016 | 16 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 16/11/2016

Share on Myspace