Majoriti Orang Asal tolak tindakan Jaringan

SALMAH MAT HUSSAIN | .

KOTA BHARU: Majoriti pemimpin masyarakat Orang Asal di Gua Musang menolak tindakan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan mengadakan sekatan laluan lori balak di Simpang Petei.

Malah kata mereka tindakan kumpulan terbabit salah di sisi undang-undang.

Pemimpin berkenaan terdiri daripada penghulu-penghulu lantikan kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) lantikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Kami ingin menegaskan dan menepis dakwaan Jaringan yang menyatakan keseluruhan masyarakat Orang Asal menyokong tindakan mereka melakukan sekatan tersebut.

“Majoriti masyarakat Orang Asal tidak menyokong tindakan mereka. Kami juga berharap pihak berkuasa menghalang kemasukan NGO dan orang perseorangan ke perkampungan masyarakat Orang Asli buat sementara waktu.

“Ini kerana kedatangan NGO tersebut bukan menyelesaikan masalah Orang Asal, malah menambahkan lagi masalah serta kekusutan sedia ada,” kata jurucakap pemimpin terbabit.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan memorandum dan resolusi kepada Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob di JKR 10 hari ini.

Seramai 59 pemimpin dan ketua masyarakat Orang Asal di Gua Musang hadir pada program tersebut.

Baru-baru ini aktivis Parti Amanah Negara dan PSM mengadakan perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim dengan mendakwa berlaku kemusnahan hutan akibat pembalakan besar-besaran di Hutan Simpan Balah sehingga menjejaskan masyarakat Orang Asal.

Mereka juga sebelum ini dilihat berada di penempatan Orang Asal yang terbabit dengan sekatan tersebut. – HARAKAHDAILY 16/11/2016

Share on Myspace