Dewan Muslimat PAS anjur kejohanan bola jaring, boling

HARAKAHDAILY | .

Muslimat PAS Malaysia Anjur Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Muslimat

Dewan Muslimat PAS Malaysia akan menganjurkan Kejohanan Sukan Muslimat dengan tema Kecekalan Muslimat Teras Pembangunan Ummah, sempena sambutan 65 Tahun PAS pada 19 November 2016 ini di Padang Bola Jaring SUK, Seksyen 5 Shah Alam, Selangor.

Objektif Kejohanan ini adalah untuk mengajak kaum wanita agar aktif dalam bersukan, memberikan kesedaran tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dan menjalinkan ikatan silaturrahim yang erat sesama muslimat/wanita.

Sebanyak 14 pasukan mewakili seluruh negeri akan berentap dan bersaing bagi merebut Piala Ketua Muslimat. Kejohanan ini melibatkan penyertaan daripada pelbagai peringkat umur termasuk golongan remaja, belia dan dewasa.

Rasulullah (SAW) bersabda (maksudnya), “Allah SWT telah menetapkan tiada apa-apa yang kekal menang (bermaksud setiap situasi ada naik dan turun dan tiada keadaan yang kekal).”

Semoga semangat kesukanan ini dapat dikekalkan dengan harapan semua peserta dapat menjaga batasan aurat dan akhlak sepanjang kejohanan berlangsung.

Nantikan suasana meriah serta aksi yang mendebarkan daripada seluruh pasukan yang akan bertanding.

Selamat bersukan!

Sekretariat Kejohanan Bola Jaring
Piala Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia 2016

Muslimat PAS Malaysia Anjur Kejohanan Bowling Piala Timbalan Ketua Muslimat

Sempena Sambutan 65 Tahun PAS, Dewan Muslimat PAS Malaysia akan menganjurkan Kejohanan Sukan Muslimat dengan tema Kecekalan Muslimat Teras Pembangunan Ummah.

Kejohanan bowling ini julung kalinya diadakan akan berlangsung pada 19 November 2016 bertempat di Brem Mall Kepong. Penyertaan adalah melibatkan 14 buah pasukan dari seluruh negeri yang akan berentap pada hari Sabtu ini.

Antara objektif kejohanan adalah mengeratkan ukhuwwah antara peserta dan penganjur, memberikan kesedaran perihal kepentingan menjaga kesihatan serta mengamalkan gaya hidup sihat. Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya agar menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit yang boleh memudaratkan.

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Nantikan aksi serta semangat kesukanan daripada seluruh pasukan yang akan bertanding.

Semua wanita dan anak muda remaja belia dijemput untuk hadir bersama-sama memberikan sokongan kepada peserta-peserta!

Sekretariat Kejohanan Bowling
Piala Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia 2016 - HARAKAHDAILY 17/11/2016

Share on Myspace