TPPA: Malaysia mesti tarik diri

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bersetuju dengan kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkenaan TPPA. Menurut beliau, Malaysia tidak memerlukan TPPA untuk meningkatkan serta memperbaiki ekonomi negara dan Malaysia berkemampuan untuk bersaing di pasaran global serta mempunyai perjanjian seperti itu dengan banyak negara lain lagi.

DPPM berpendapat Kerajaan sepatutnya sedar risiko yang bakal dihadapi selepas ini dalam TPPA. Pentadbiran Presiden AS Barrack Obama bertindak menggantung TPPA sehingga selesai penyerahan kuasa kepada Donald Trump pada 20 Januari tahun depan untuk diputuskan oleh Presiden baru AS Donald Trump yang diketahui sikap dan polisi beliau terhadap Perjanjian Perdagangan Bebas.

Sikap dan polisi Donald Trump begitu kritikal terhadap TPPA dan usaha beliau menentang sebarang Perjanjian Perdagangan Bebas jelas kelihatan semasa kempen pilihan raya Presiden AS baru-baru ini. Kerajaan perlu membuat keputusan yang tepat untuk kepentingan negara iaitu dengan membatalkan penyertaan Malaysia dalam TPPA. Perjanjian berat sebelah yang sememangnya tidak menguntungkan negara samada jangka masa pendek ataupun panjang.

Kerajaan seharusnya mengkaji dengan lebih mendalam sebelum membuat sesuatu keputusan. Kenyataan Menteri Kewangan Kedua ternyata cukup berbeza dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Dato’ Sri Mustafa Mohamed dalam soal TPPA. Ternyata MITI begitu bersungguh beralasan betapa perlunya Malaysia bersama dalam TPPA jika tidak mahu ketinggalan dan terpinggir dalam arus ekonomi dunia yang ternyata tidak tepat sama sekali.

Malaysia mempunyai banyak negara rakan dagang yang dimenterai Perjanjian Perdagangan Bebas antaranya China, Kesatuan Eropah, Jepun, Korea, Australia dan banyak negara lagi yang nilai dagangannya berbillion ringgit setiap tahun. Masih banyak negara yang belum menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas dengan Malaysia namun telah lama berdagang seperti Russia, Mexico, Kanada, Afrika Selatan, Brazil dan negara-negara lain lagi.

Jika Malaysia bijak menambah nilai perjanjian yang sedia ada dan menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas baru dengan negara yang masih belum ada perjanjian dengan Malaysia, ini akan menambah nilai, memperbanyakkan lagi dagangan serta memperbaiki kedudukan ekonomi negara. Masih banyak yang boleh diperbaiki, diperhalusi dan ditambah nilai, ternyata TPPA bukan satu-satunya penyelesaian untuk memperbaiki serta mengukuhkan ekonomi negara.

DPPM menggesa Kerajaan bertindak sewajarnya, membatalkan penyertaan Malaysia di dalam TPPA. Masih banyak kaedah dan solusi untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara, tidak perlu terburu-buru lalu tunduk seperti hamba. Di kala keadaan ekonomi gawat dan tidak stabil di seluruh dunia, Kerajaan perlu bijak menilai dan membuat keputusan serta jangan biarkan rakyat akhirnya menjadi mangsa. Umpama pepatah Melayu, ayam terlepas tangan bau najis.

“Bertekad Melebar Muafakat"

“Inilah Penyelesaian Kita”

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
17 November 2016 | 17 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 17/11/2016

Share on Myspace