KBAT: Tidak bererti jika tidak mampu dikuasai pelajar

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Keputusan UPSR yang baru sahaja diumumkan oleh Kementerian Pendidikan hari ini mengejutkan banyak pihak apabila peratusan yang mendapat semua A hanya 1.11 peratus daripada 452,721 pelajar.

Keputusan ini menimbulkan tanda tanya terhadap format baru yang diperkenalkan oleh kementerian yang menekankan aspek Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff berkata pihaknya mengalu-alukan segala dasar yang menambah kualiti dan pencapaian di kalangan pelajar cuma cara dan teknik pembelajaran, penguasaan guru serta latihan amat penting agar hasrat murni  kerajaan tercapai.

"Kita ingin tahu apakah kaedah dan tujuan format baharu diperkenalkan sehingga perubahan angka yan begitu ketara.

"Tiada erti dasar yang hebat, kurikulum yang hebat tetapi tidak mampu dicapai dan dikuasai dengan baik ," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, pencapaian kecemerlangan tidak sampai 2% ini harus dimuhasabah dan perlu ada kajian oleh semua pihak dan agensi berkaitan.

"Agar sistem pendidikan kita mampu melahirkan generasi yang cemerlang untuk masa depan negara," ujarnya yang turut mengucapkan tahniah kepada pelajar UPSR.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian Ahmad Baihaki Atiqullah menyifatkan pelajar-pelajar UPSR tahun ini menjadi mangsa percubaan fomat baru.

"Hadapi peperiksaan dengan format yang kabur, bukan saja pelajar, bahkan guru yang mengajar," katanya.

Sepatutnya, kata beliau setiap format baru, mesti dimulakan pada tahun 4 atau 5 terlebih dulu, barulah pelajar dapat menguasai dalam masa setahun atau dua tahun.

"Lepas ini difahamkan Format yang berorientasikan peperiksaan macam UPSR ni pun, akan dimansuhkan. Dasar yang sentiasa berubah-ubah mengikut pertukaran menteri Pendidikan," katanya.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang menggunakan format baharu menyaksikan seramai 4,896  calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A.

Jumlah pencapaian cemerlang itu adalah 1.11 peratus daripada 452,721 calon yang mendaftar dalam peperiksaan itu September lalu. – HARAKAHDAILY 17/11/2016

Share on Myspace