Pelajar pondok di Kelantan ditawar pengajian diploma

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KUALA KRAI: Kerajaan Kelantan mendahului negeri lain apabila memberi pengiktirafan kepada pelajar institusi pondok tradisional dengan memperkenalkan diploma pengajian 'turath'.

Usaha itu dibuat melalui kerjasama Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) dijangka bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, antara masalah pengajian pondok di mana pelajar tidak mendapat pengiktirafan kerajaan selepas tamat pengajian.

"Sebahagian pelajar cerdik, ilmu banyak tetapi tidak diiktiraf, mereka hanya boleh jadi imam dan ustaz. Tetapi nak masuk dalam perkhidmatan awam, tidak boleh kerana tiada sijil.

"Sebab itu kita berbincang lebih dua tahun lepas bagi perkenalkan program pengajian turath mengunakan sukatan pengajian pondok," katanya pada majlis perasmian bangunan baru di Pondok Sungai Durian hari ini.

Hadir sama Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya'kub; Adun Mengkebang, Abdul Latif Abdul Rahman; Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dan Musyrif Pondok Sungai Durian, Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman.

Bangunan baharu itu diberi nama Sakan Siti Khadijah. Pada majlis yang sama diadakan perletakan batu asas Sakan Ummu Salamah.

Bangunan setinggi empat tingkat melibatkan kos RM2 juta bakal menempatkan sebahagian pelajar pondok yang terlibat banjir besar pada penghujung 2014.

Akhbar hari melaporkan Pertubuhan Jemaah Pondok-Pondok Kedah mencadangkan pelajar tamat sekolah pondok diberi sijil pengiktirafan yang diperakui Jabatan Agama Negeri. – HARAKAHDAILY 17/11/2016

Share on Myspace