Jelajah Ekspresi Kalam dapat sambutan pelajar

IBNU MAHMUD | .

KOTA BHARU: Siri jelajah Ekspresi Kalam (EK '16) bagi mencungkil pemidato muda turut mensasarkan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah-sekolah sekitar Kota Bharu.

Semenjak diuar-uarkan, ia mendapat sambutan baik kalangan belia dan remaja bagi menyertai program yang dianjurkan Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan dengan kerjasama Konfederasi NGO Kelantan.

Penyelaras Promosi EK '16, Jamal Najmuddin Sulaiman berkata pihaknya hanya mensasarkan sekitar 50 orang untuk dinilai pada sesi uji bakat  25 November ini bagi peserta wanita.

Dan 26 November bagi lelaki, bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, bertempat di Syabab Point Kota Bharu.

"Melalui uji bakat ini, sejumlah peserta berbakat akan dipilih bagi meneruskan siri cabaran EK '16 selama tiga minggu setiap Sabtu bermula 3 Disember di Laman Sejahtera Taman Hijau berhampiran Kota Ismail Petra di bandar Kota Bharu.

"Peserta akan berdepan dengan penyingkiran yang akan ditentukan juri profesional untuk ke peringkat cabaran pentas akhir Ekspresi yang akan berlangsung 25 Disember 2016, " katanya.

Ujar Jamal lagi, peserta akan didedahkan latihan pengucapan awam oleh tenaga pengajar berpengalaman, selain dilibatkan aktiviti santai yang menarik seperti berkuda dan memanah.

Program secara percuma tersebut menyediakan hadiah menarik berupa wang tunai dan barangan yang akan dibawa pulang setiap peserta. – HARAKAHDAILY 18/11/2016

Share on Myspace