Rakyat perlu bijak pilih pemimpin berwibawa

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor mengajak rakyat negara ini berfikir bagaimana untuk mencari pemimpin yang berwibawa, yang boleh diharapkan untuk memimpin Malaysia supaya dapat keluar dari kemelut ekonomi yang sedang membelengggu negara ini.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman berkata, rakyat yang bijak dan berpelajaran tidak termakan hasutan dari pemimpin yang mahu memecah belah bangsa demi kepentingan peribadi.

"Rakyat yang bijak harus menyokong pemimpin yang cintakan keamanan sesama bangsa untuk menstabilkan ekonomi negara yang semakin membimbangkan.

"Kita yakin apabila keharmonian sesama bangsa dapat disatukan kembali nescaya ekonomi negara akan kembali pulih dan tenang, secara tidak langsung kehidupan berbilang kaum dapat disatukan kembali sebagai bangsa Malaysia," katanya.

PAS bersama Ikatan dalam Gagasan Sejahtera  mengajak semua pihak menolak dan menggesa PDRM bertindak secara profesional untuk menghentikan niat pemimpin yang ingin mengadakan himpunan pada 19 November iaitu himpunan baju kuning dan baju merah.

Katanya, PDRM perlu mengambil tindakan tegas untuk menghalang niat mereka yang ingin menghasut fikiran rakyat yang tidak berdosa atas tujuan peribadi mereka.

"Insiden yang berlaku terhadap Datuk Jamal baru-baru ini tidak sepatutnya terjadi dan kedua-dua belah pihak penganjur Baju Kuning dan Merah seharusnya dipertanggungjawabkan ke atas insiden yang terjadi baru baru ini.

"Semua ini terjadi kerana dengar cara ini sajalah mereka dapat menghasut fikiran rakyat supaya bertindak balas dendam hanya untuk kepentingan peribadi untuk membela parti politik yang mereka puja-pujakan dan bukan untuk menyempurnakan ajaran agama mengikut fahaman masing masing.

"Untuk kasih mengasihi sesama manusia serta melupakan sama sekali prinsip rukun negara yang telah di ilhamkan oleh pejuang kemerdekaan negara," katanya.

Beliau yakin dunia luar sedang memerhati Malaysia yang sekarang ini sedang menghadapi masalah ekonomi di tambahkan satu lagi masalah bertelingkah dan berperang sesama bangsa.

Tambahnya, hasil dari hasutan beberapa pemimpin parti politik yang kuat pengaruhnya sehingga mencetus perbalahan sesama suku bangsa sebenarnya tidak menguntungkan masyarakat yang hidup berbilang bangsa pada saat ini.

"Masyarakat atau rakyat harus sedar dan perlu ambil iktibar tentang apa manfaatnya jika kita menyokong mereka yang membuat huru hara, apakah cukup hanya diupah yang begitu kecil untuk membenci sesama sendiri hanya untuk memenuhi inspirasi dan aspirasi?

Justeru katanya,  Malaysia pada saat ini memang merasai beban tekanan ekonomi yang semakin teruk dan berdoa agar kembali pulih seperti sediakala.

"Sangat memalukan bila kita sanggup menunjukkan kain negara kita yang telah dikoyakkan oleh pemimpin kita kepada dunia, di mana prestasi karisma dan  maruah kepimpinan pemimpin kita yang masyur dan harum suatu ketika dulu," katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2016

Share on Myspace