Perbahasan Bajet Terengganu 2017 mesti diutamakan

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM | .

Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Ketiga Belas (Bajet) akan diadakan pada 21 hingga 24 November 2016. Persidangan ini amat penting bagi rakyat Terengganu ekoran suasana suram ekonomi dan bebanan bertimpa yang ditanggung oleh rakyat keseluruhannya.

Dalam merancakkan suasana berdiskusi di kalangan ahli-ahli yang berhormat, pihak kerajaan Terengganu sewajarnya memberikan ruang sebaiknya buat semua ahli dewan membahaskan Enakmen Perbekalan 2017 secara lebih cermat dan memperhalusi agenda-agenda yang dirancang.

Malangnya, mesyuarat sepenting ini, pihak kerajaan memuatkan lagi agenda pembentangan enakmen yang banyak. Sebenarnya, boleh diambil masanya ketika persidangan mesyuarat kedua. Pada kali ini, enam enakmen akan dibentangkan pihak kerajaan seperti berikut:-

i.    Enakmen Perbekalan 2017
ii.    Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-Orang Melayu (Pindaan) (No2) 2016
iii.    Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) (Pindaan) 2016
iv.    Enakmen Wakaf (Terengganu) 2016
v.    Enakmen Industri Berasaskan Kayu (Pindaan) 2016
vi.    Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2016

Persidangan ini hanya akan mendapat ruang sekitar tiga hari bagi menumpukan semua agenda. Sedangkan agenda utama sidang terakhir untuk tahun ini adalah isu bajet Kerajaan Negeri Terengganu bagi tahun 2017. Rekod yang pihak kami semak, persidangan bajet yang membabitkan enakmen yang agak banyak dalam penggal ini hanya pada tahun 2014, iaitu sebanyak 5 enakmen termasuk Enakmen Perbekalan. Tahun 2015, hanya dua Enakmen dan tahun 2013 pula hanya 3 enakmen.

Kerajaan Negeri Terengganu perlu dilihat lebih serius untuk meletakkan agenda pembangunan negeri dengan melibatkan penyertaan seluruh ahli yang berhormat khususnya dari pihak pembangkang untuk bersama-sama melakukan proses semak dan imbang terhadap corak perbelanjaan khususnya dalam situasi kritikal pada hari ini. Melonggokkan pelbagai enakmen dalam suasana keutamaan sewajarnya difokuskan pada Enakmen Perbekalan 2017 menunjukkan kerajaan negeri seperti tidak bersedia atau memandang ringan kemelut semasa yang berlaku dalam negara dan negeri.

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mencadangkan agar persidangan bajet dapat dipanjangkan tempoh masanya sesuai dengan anggaran perbelanjaan kerajaan negeri Terengganu yang dilihat antara tertinggi dalam negara. Kerajaan negeri juga boleh mengguna pakai tempoh masa sedia ada tetapi mengurangkan pembentangan enakmen yang sepatutnya boleh dibawa dalam persidangan kedua pada setiap tahun.

DPPNT amat mengharapkan agar ruang waktu ahli yang berhormat untuk membuat perbahasan diberikan secukupnya agar semua kepentingan rakyat dapat dikemukakan dalam dewan yang mulia.

“Bertekad Melebar Muafakat”
“Inilah Penyelesaian Kita”

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Adun Tepoh
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) - HARAKAHDAILY 19/11/2016

Share on Myspace