Kunjungan sulung Mursyidul Am PAS ke Terengganu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tuan Guru Hashim Jasin akan berkunjung buat kali pertama ke Terengganu pada 9 Disember ini selepas dilantik sebagai Mursyidul Am PAS.

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) negeri, Ustaz Saharizukirnain Abd Kadir berkata, Tuan Guru Hashim Jasin akan menghadiri Majlis Makan Malam yang dianjurkan lajnah tersebut pada 9 Disember di Dewan Tok Guru, Rusila.

Menurutnya, makan malam sambil menderma adalah satu inisiatif bagi mencari dana untuk melicinkan program lajnahnya yang telah diatur.

“Kita akan mengadakan program sehari bersama nelayan peringkat negeri bermula di Dun Batu Rakit.

“Dana yang dikutip ini juga akan kita gunakan untuk membantu golongan petani dan nelayan yang kita semua ketahui amat terkesan dengan kenaikan harga barang, lebih-lebih lagi di saat musim tengkujuh setiap akhir tahun,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Katanya, program Sehari Bersama Nelayan yang akan diadakan di kawasan Dun-Dun terpilih bermula Januari 2017.

Sehubungan itu, Ustaz Shahari yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu berharap agar semua pendukung dan penyokong PAS dapat hadir ke program makan malam itu.

Katanya, sebarang pertanyaan berhubung program makan malam itu boleh menghubungi Setiausaha LATAS Abdul Raof Mohamed di talian 019 264 3481.

Share on Myspace