Peristiwa Memali tidak dilupakan

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI | .

Hari ini genap 31 tahun berlakunya peristiwa berdarah Memali iaitu pada tanggal 19 November 1985.

Saban tahun peristiwa ini diingati supaya ianya tidak luput dimakan sejarah bukannya untuk memahatkan dendam kesumat yang tidak berkesudahan. Yang dizalimi mesti dibela, yang zalim mesti diadili.

Malam ini saya dijemput untuk memberikan ceramah bagi memperingati peristiwa hitam ini. Walaupun ketika berlakunya peristiwa itu umur saya baru 8 tahun. Akan tetapi saya masih ingat, mengikutinya melalui berita di televisyen yang memberikan pelbagai label yang jahat terhadap Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya.  

As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud merupakan seorang ulama lulusan universiti terkemuka di Libya dan pernah menuntut di Mesir dan India.

Setelah kembalinya ke tanah air pernah bertugas di jabatan-jabatan agama Islam di bawah kerajaan. Tetapi ilmunya tidak mengizinkannya untuk berdiam diri, melihat agama Islam dagang di kalangan penganutnya, beliau bangkit menegur dan menasihati kerajaan supaya kembali ke pangkal jalan.

Tindakannya ini dituduh sebagai pelampau, bersekongkol dengan pengganas komunis, penganut ajaran sesat dan lain-lain lagi tuduhan jahat sehingga membawa kepada operasi berdarah Memali.

Dalam operasi itu As-Syahid bersama-sama 13 orang lagi temannya mati dibunuh oleh anggota keselamatan kerana dituduh mengancam keselamatan negara. Kampung Memali yang damai bertukar menjadi medan perang, anggota-anggota keselamatan yang lengkap bersenjata dan disokong oleh kereta-kereta perisai berdepan dengan orang kampung yang kebingungan tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Adakah orang yang hanya 'bersenjatakan' lidah menegur dan menasihati kerajaan dianggap mengancam keselamatan negara?

Inilah melampau namanya!

Kenapa pihak keselamatan negara boleh berunding dengan penceroboh Sulu yang mendarat di Sabah lengkap dengan senjata tetapi tidak diberikan hak yang sama kepada As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan penduduk Kampung Memali?

Kenapa Ayah Pin yang jelas sesat dengan kerajaan langitnya tidak bersungguh untuk menahannya sehingga beliau diumumkan mati?

Kalaulah beliau betul-betul pengganas kenapa DYMM Sultan Kedah mencemar duli menziarahi perkuburannya di Parit Panjang?

Kalaulah beliau betul-betul sesat kenapa Al-Marhum Tuan Guru Haji Yahya Junid mengisytiharkan beliau dan teman-temannya adalah syuhada'?

Kalau tidak syahid dunia dan akhirat paling kurang syahid akhirat kerana mati mempertahankan nyawa, keluarga dan kampungnya daripada penceroboh. Bukankah Nabi S.A.W pernah menyebut di dalam satu hadis yang mafhumnya; barang siapa yang mati kerana mempertahankan nyawanya maka dia adalah syahid.

Peristiwa ini kekal menjadi titik hitam sejarah negara yang tidak boleh dipadamkan. Walaupun 31 tahun sudah berlalu keadilan kepada mangsa-mangsa peristiwa Memali dan keluarga mereka masih lagi belum dilunaskan.

Walaupun di atas dunia ini mereka yang bertanggungjawab boleh terlepas tetapi tunggulah perbicaraan di hadapan Allah Tuhan yang Maha Besar di Padang Mahsyar kelak.

"Dan jangan sekali-kali kamu menyangka Allah leka terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnnya kami lambatkan mereka sehinggalah kepada hari terbeliak mata-mata (kerana melihat azab Allah di hadapan mereka)." (Surah Ibrahim: 42)

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua DPPM
815 mlm, Kampung Memali, Baling, Kedah.
19 Safar 1438 /19 November 2016 - HARAKAHDAILY 19/11/2016

Share on Myspace