Mengintai ruang dakwah di pedalaman Royal Belum

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Kabus dingin menyelimuti perkampungan Orang Asal di Kampung Kejar, Royal Belum di pagi yang indah. Cengkerik berdendang, tingkah meningkah dengan irama yang sangat harmoni seperti dentingan halpa begitu menguja akal. Kumpulan kami terdiri daripada 40 orang daripada pelbagai latarbelakang sosial dan pendidikan. Doktor-doktor muda dengan guratan wajah cerdas, pelajar-pelajar kampus yang obses dengan kerja dakwah, aktivis tegar kebajikan, peniaga, bekas anggota khas pasukan keselamatan negara dan juga asatizah pelbagai peringkat.

Muslim Care setiap minggu mengadakan pelbagai misi dakwah dan kebajikan, meliputi dalam dan luar negara. Menyantuni pulau-pulau terpencil, menyambangi kawasan pedalaman orang asal, termasuk menyelongkar kemiskinan bandar yang semakin mencolok mata.

Minggu ini Muslim Care memilih KOA Kejar yang berada paling hujung di sempadan Malaysia-Thai dengan tempoh perjalanan lebih daripada tujuh jam. Hujan merintik perlahan dengan kilat-kilat kecil menggoda di kaki langit sedikit sebanyak memperlahankan  perjalanan kami yang berkolaborasi dengan beberapa kumpulan lain.

Jumlah orang asal di Semenanjung Malaysia telah mencecah 160,000 orang dan mereka menduduki kawasan hutan di Perak, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor dan lain-lain negeri. Antara suku orang asal ini ialah Negrito, Senoi, Melayu Proto dan terpecah pula kepada 18 sub suku. Secara umumnya sebahagian besar mereka masih mengamalkan  fahaman animisme, manakala sebahagian kecil yang lain menganut agama Islam dan Kristian.

Menurut Ustaz Abdul Halim, jumlah penganut Islam dalam kalangan Orang Asal sekitar 20,000 sehingga 30 000 orang dan keadaan mereka yang mudah dipengaruhi untuk murtad maka agak sukar mencapai angka yang spesifik. Mendekati Orang Asal ini tidak semudah yang dijangka kerana mereka suka dengan status quo, tidak mahu orang luar mengganggu kedamaian hidup mereka. Antara perkara yang perlu dielakkan oleh para pendakwah Islam apabila memasuki perkampungan Orang Asal ialah jangan memasuki rumah yang digantung daun-daun pada pintu rumah, jangan meludah merata-rata, jangan memuji kecantikan kanak-kanak, jangan memberi barangan terus kepada wanita mereka, jangan menunjukkan muka jijik, jangan mendekati kanak-kanak Orang Asal tanpa meminta keizinan penjaga mereka dan pelbagai larangan yang lain.

Misi Muslim Care pada kali ini diketuai oleh saudara Safuan Ujar dan pelbagai program telah diatur padat. Antaranya pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi, sukaneka kanak-kanak, pertandingan menimang sepak raga, pertandingan menyumpit, pertandingan mewarna kanak-kanak, ziarah rumah serta mengagihkan barang-barang keperluan kepada masyarakat yang rata-ratanya dhaif.

Perkampungan Orang Asal Sungai Kejar ini masih 100 peratus beragama animisme dan mereka bergantung kepada alam sekitar untuk meraih rezeki. Antaranya dengan menjual rotan, damar, akar kayu, hasil tangkapan ikan sungai seperti kelah, toman, baung dan sebagainya. Usaha mendekati mereka adalah sangat penting kerana jiwa mereka secara umumnya kosong dengan mempercayai semangat. Kelompok animisme ini mempunyai nilai-nilai murni seperti memuliakan tetamu, tidak menipu dan menghormati orang lain. Mereka sangat setia dengan ketua yang dikenali sebagai tok batin, sosok yang paling berwibawa dalam komuniti kecil mereka.

Sebelum menutup tirai program dakwah dan kebajikan Kampung Orang Asal Sungai Kejar, penulis terfikir bagaimanakah nasib Orang Asal jika usaha mendekati mereka tidak dijalankan sedangkan pihak misionari sentiasa mengintai peluang. Dakwah itu adalah cinta dan kasih sayang, menyentuh dasar hati mad'u yang paling dalam dengan kebaikan bertunjang niat yang ikhlas. Terbayang anak-anak Orang Asal dengan sorotan mata bening mereka terlihat gembira bila disantuni relawan Muslim Care. Dirapikan rambut mereka yang berkutu dengan ubatan, memandikan mereka, digosok gigi dengan diajar cara yang betul untuk memberus, diketip kuku panjang mereka, malah mendoakan mereka agar tersentuh hidayah Ilahi.

Kebajikan adalah jambatan untuk mendekati manusia, mengetuk pintu hati manusia untuk hidup berfitrah. Mungkin generasi tua sudah liat dan selesa dengan cara hidup tak bertuhan tetapi harapan besar ialah pada generasi muda, insyaallah fajar Islam akan menyongsong tiba. - HARAKAHDAILY 20/11/2016

Penulis ialah Pengarah Penerangan Muslim Care Malaysia.

Share on Myspace