Sejarah: Mohamad Nasir serah surat letak jawatan MB

MOHD FADLI GHANI | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: DATO' MOHAMAD NASIR SERAH SURAT LETAK JAWATAN MENTERI BESAR (20 NOVEMBER 1976)

PADA hari ini dalam tahun 1976, Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohamad Nasir telah menyerahkan surat perletakan jawatan beliau sebagai ketua kerajaan Kelantan kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda. Perletakan jawatan beliau atas sebab-sebab kesihatan ini telah diterima dengan positif oleh pemimpin PAS khususnya di Kelantan kerana ia dijangka akan menyelesaikan krisis kepemimpinan yang tercetus sejak isu perlantikan Menteri Besar Kelantan selepas Pilihan Raya Umum 1974. Walau bagaimanapun, surat perletakan jawatan ini hanya berkuat kuasa mulai 31 Ogos 1977, dan ia bersifat satu notis awal kepada PAS bagi membuat persiapan untuk melantik Menteri Besar yang baru.

Dato' Mohamad Nasir, Menteri Besar Kelantan yang keempat selepas merdeka merupakan seorang lulusan Kolej Pertanian Serdang (sekarang Universiti Putra Malaysia - UPM) dan berkhidmat sebagai Pegawai Pertanian sehingga 1959. Beliau kemudiannya menjadi ADUN Machang Utara pada 1959 dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan (1959-1964). Ekoran kekalahan beliau dalam Pilihan Raya Umum 1964, beliau dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) (1964-1969), sebelum beliau memenangi kerusi DUN Tendung dalam Pilihan Raya Umum 1969. Selepas Pilihan Raya Umum 1974, nama beliau telah dipilih oleh Perdana Menteri atas cadangan Umno Kelantan untuk menjadi Menteri Besar Kelantan, sedangkan PAS mencalonkan ADUN Sungai Rasau, Wan Ismail Ibrahim. Kerana pergolakan dalam memilih Menteri Besar Kelantan ini, krisis politik Kelantan telah berlarutan beberapa tahun.

Krisis awal yang tercetus pada Mei 1975 akibat satu kenyataan beliau kepada media tentang pentadbiran kerajaan yang merugikan parti dan kerajaan sehingga menimbulkan desakan yang kuat daripada PAS Kelantan supaya Menteri Besar ini meletakkan jawatan. Namun begitu, isu ini reda apabila PAS Pusat mengambil langkah untuk menyelesaikan isu ini secara positif. Walau bagaimanapun, beberapa pergolakan kecil yang berlaku dalam kepemimpinan Kerajaan BN Kelantan dijangka akan selesai apabila Dato' Mohamad Nasir telah menyerahkan surat makluman perletakan jawatan beliau kepada PAS Pusat melalui Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 20 November 1976, dengan memaklumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatannya mulai 31 Ogos 1977. Cadangan beliau untuk melepaskan jawatan ini juga telah dipersembahkan sendiri oleh beliau untuk mendapat perkenan Sultan Yahya Perta, Sultan Kelantan yang juga Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Pihak Istana Kelantan juga telah menitahkan supaya PAS menamakan calon Menteri Besar yang baru, sedangkan PAS Kelantan telah membuat persiapan dengan mencadangkan satu jawatan lain yang sesuai untuk Dato' Mohamad Nasir meneruskan khidmatnya kepada Negeri Kelantan dalam tempoh peralihan sebelum akhir Ogos 1977.

Walau bagaimanapun, surat perletakan jawatan Yang diserahkan kepada PAS Pusat pada 20 November 1976 ini telah bocor ke tangan Umno, sehingga satu rancangan lain disusun untuk menggagalkan perletakan jawatan ini dan menimbulkan krisis politik yang baru di Kelantan. Di sebalik rancangan yang diaturkan ini, pada 31 Ogos 1977, Dato' Mohamad Nasir bukan sahaja gagal meletakkan jawatan beliau, bahkan beliau mula bertindak menyerang pimpinan PAS Kelantan, mempersoalkan dasar-dasar Kerajaan PAS terdahulu dan mendakwa dirinya adalah Menteri Besar BN, bukannya Menteri Besar PAS. Hal ini menimbulkan kemarahan ADUN-ADUN PAS Kelantan sehingga mereka pada 8 September 1977 telah mendesak supaya Menteri Besar itu meletakkan jawatan sebelum 28 September 1977. Pada 10 September 1977, PAS Kelantan pula membuat desakan supaya perletakan jawatan itu berlaku sebelum 10 September 1977. Ekoran kedegilan Dato' Mohamad Nasir, akhirnya pada 10 Oktober 1977 beliau dipecat dari PAS, disusuli oleh usul undi tidak percaya terhadap beliau di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
20 November 2016 - HARAKAHDAILY 20/11/2016

Share on Myspace