Selamat menyambut Hari Perikanan Sedunia

MUHAMMAD SANUSI MD NOR | .

Pada hari ini, seluruh warga perikanan di seluruh dunia akan bersama-sama menyambut Hari Perikanan Sedunia. Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih serta titipan doa agar dilimpahkan ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada seluruh warga perikanan termasuk kakitangan jabatan serta agensi yang berkaitan kerana telah sekian lama berkorban untuk memenuhi keperluan sumber makanan rakyat termasuk pertumbuhan ekonomi negara.

Allah SWT berfirman, yang bermaksud: “Katakanlah hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Surah Az-Zumar: 10)

Sektor perikanan tidaklah asing buat PAS dalam tempoh 60 tahun di persada politik negara. Lebih-lebih lagi dengan ikatan kuat dunia nelayan dengan Tuan Guru Presiden PAS.

Di sebalik kegagalan Kerajaan Umno BN selepas 59 tahun kemerdekaan negara untuk memartabatkan komuniti ini, PAS dan GAGASAN akan terus bertekad untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas PRU ke-14 nanti agar kedudukan sosio-ekonomi nelayan khususnya dapat diperbaiki termasuk memastikan sumber bekalan ikan yang stabil, kompetitif dan mapan dalam jangka masa yang panjang kepada Rakyat dan Industri. Jangan pinggirkan lagi nasib ratusan ribu nelayan di seluruh negara khususnya nelayan pesisir pantai dalam sektor yang menyumbang pulangan melebihi RM10 billion setiap tahun kepada negara.

Antara fokus dan komitmen berterusan PAS dan GAGASAN adalah:

1. Mendesak Kerajaan Pusat dan negeri agar dasar, polisi dan akta yang berkaitan dapat digubal untuk melindungi kepentingan dan keperluan warga perikanan khususnya.

2. Gaji minimum, elaun tetap, pakej perubatan, polisi insuran, SOCSO, bantuan perumahan dan bantuan pendidikan kepada warga perikanan serta ahli keluarga mereka kerana penglibatan ahli keluarga dalam aktiviti berisiko tinggi untuk memenuhi keperluan rakyat dan negara.

3. Mengeluarkan warga perikanan dari garis kemiskinan.

4. Bekalan ikan yang berterusan pada harga yang munasabah.

5. Menghapuskan manipulasi orang tengah atau peraih ikan yang tidak adil.

6. Pembangunan sektor perikanan yang mampan melalui pembangunan biomass sumber perairan pantai yang dilihat sudah berkurangan termasuk meningkatkan jumlah kepadatan ikan.

7. Pertambahan bekalan ikan negara yang berterusan dari pembangunan akuakultur.

8. Bantuan logistik, dana yang berterusan termasuk subsidi yang lebih tinggi dari kerajaan.

9. Pasaran yang lebih luas untuk tujuan eksport, seterusnya meningkatkan hasil pendapatan.

10. Kepelbagaian sumber pendapatan sampingan khususnya ketika musim tengkujuh.

Insya Allah, antara aktiviti terdekat LATAS adalah pertemuan mahabbah dengan wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk perlancaran program Hari Bersama Nelayan di seluruh negara.

Sama-sama kita meriahkan sambutan ini. Semoga ia dijadikan program tetap tahunan dalam menghargai sumbangan warga perikanan kepada negara.

Selamat Menyambut Hari Perikanan Sedunia dari PAS dan GAGASAN SEJAHTERA. - HARAKAHDAILY 21/11/2016

Penulis adalah AJK PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS).

Share on Myspace