Royalti: Media dedah PAS rancang bawa ke mahkamah

MOHD FADLI GHANI | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: MEDIA DEDAHKAN RANCANGAN PAS MEMBAWA ISU ROYALTI KE MAHKAMAH (21 NOVEMBER 2000)

PADA hari ini dalam tahun 2000, media massa arus perdana telah mendedahkan rancangan Kerajaan PAS Terengganu untuk membawa kes royalti petroleum ke mahkamah. Sebelumnya, Kerajaan PAS Terengganu telah melakukan beberapa tindakan politik bagi mengembalikan royalti petroleum tersebut, tetapi tidak memberikan sebarang kesan. Hal ini telah menyebabkan Kerajaan PAS Terengganu telah mengambil pendekatan undang-undang dengan membawa kes tersebut ke mahkamah, termasuk merujuk kes ini ke Queen Counsel di London.

Isu royalti petroleum Terengganu ini menjadi hangat selepas Terengganu jatuh ke tangan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999. Dengan hasil royalti petroleum, Kerajaan PAS Terengganu telah memperkenalkan pelbagai dasar berkebajikan kepada rakyat sehingga Umno semakin lemah. Dalam Perhimpunan Agung Umno Ke-54 pada 11-13 Mei 2000, Umno Terengganu telah melahirkan kebimbangan sekiranya royalti petroleum disalahgunakan oleh PAS. Dakwaan ini kemudiannya mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 26 Jun 2000 untuk mendakwa bahawa Terengganu tidak berhak ke atas royalti petroleum. Ia disusuli pula oleh tindakan Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 yang mengumumkan bahawa pembayaran royalti petroleum kepada Terengganu dihentikan dan ia disalurkan terus kepada rakyat Terengganu melalui Program Pembiayaan Wang Ehsan (PPWE).

Walaupun terdapat pelbagai cadangan supaya isu royalti ini dirujuk ke mahkamah, PAS telah memilih untuk menggunakan saluran politik dengan membawa isu ini ke Parlimen pada 16 Oktober 2000, tetapi usul berkait royalti ini telah ditolak oleh Dewan Rakyat. Antara langkah politik lain yang telah diambil termasuklah membatalkan status 'rahsia rasmi' bagi tiga dokumen royalti, menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Kewangan dan membuat penjelasan kepada rakyat. Sebelum itu, Kerajaan PAS Terengganu telah menyatakan bahawa pihak kerajaan terpaksa memikirkan langkah-langkah kontigensi bagi menghadapi pemotongan bajet ekoran ketiadaan sumber utama yang dijangka mencecah nilai RM840 juta. Di pihak Umno dan Kerajaan Pusat, mereka sejak 16 Oktober 2000 telah mencabar Kerajaan PAS Terengganu untuk membawa isu ini ke mahkamah sebagai membuktikan bahawa Terengganu berhak ke atasnya.

Walaupun isu ketelusan mahkamah sedangkan hangat dipersoalkan ketika itu, PAS pada akhir Oktober 2000 telah menggambarkan kemungkinan membawanya ke mahkamah sebagai mana yang dicabar oleh Umno. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 18 November 2000 telah bersetuju supaya kes ini bukan sahaja perlu dibawa ke mahkamah, tetapi juga perlu rujuk kepada Queen Counsel di London untuk mendapat pandangan dari sudut undang-undang. Keputusan PAS kemudiannya telah diketahui oleh media massa dan Berita Harian pada 21 November 2000 telah mendedahkan rancangan PAS untuk menjadikan isu royalti petroleum ini sebagai kes di mahkamah. Namun begitu, setelah tiga bulan melalui pelbagai proses, Kerajaan PAS Terengganu hanya memfailkan saman ke atas Petronas dan Kerajaan Pusat pada 8 Mac 2001, dan kes ini masih berlarutan hingga sekarang.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
21 November 2016 - HARAKAHDAILY 21/11/2016

Share on Myspace