Bajet 2016 Terengganu gagal, sorotan hujung tahun

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM | .

Bajet 2016 Kerajaan Terengganu telah dibentangkan pada 30 November 2015 tahun lalu dengan bertemakan "Transformasi Terengganu Baharu". Isi kandungannya akan menyebabkan rakyat terpukau dengan keindahan bahasa dan tawaran-tawaran menarik YAB Menteri Besar Terengganu.

Sorotan kami mendapati Bajet 2016 Kerajaan Terengganu tidak ke mana. Kami bertoleransi dengan suasana suram ekonomi negara dan kesan yang turut dialami oleh pihak negeri. Pun begitu, beberapa aspek pemulihan kekuatan ekonomi negeri perlu diberikan keutamaan. Ia tidak sekadar memberikan slogan indah tetapi amat memerlukan tindakan terarah yang lebih serius.

Hasrat untuk mentransformasikan ekonomi negeri, pendekatan kaedah 'Big Fast Result (BFR)' dilihat gagal menjayakan agenda Bajet 2016. Kegagalan menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 41,201 menjelang 2020 dilihat tidak berjaya. Malah ia sangat tidak realistik. Jumlah pelaburan yang diterima untuk tahun 2016 hanyalah RM75 juta dengan peluang pekerjaan hanya 254 orang. Kalaulah purata 41,201 peluang pekerjaan dalam tempoh 5 tahun, tentu sekali 8,200 peluang pekerjaan dapat disediakan. Paling tidak 3,000 hingga 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat dapat disediakan sepanjang tahun 2016 dengan mengambil kita kesuraman ekonomi semasa.

Agihan pelbagai dana kebajikan semata-mata bukan satu strategi yang baik untuk pemulihan ekonomi. Keupayaan kerajaan negeri bagi meningkatkan hasil perlu digandakan bukan semata-mata bergantung dengan terimaan bukan hasil melalui Dana Khas Kerajaan Persekutuan (baca: Royalti) semata-mata. Kebergantungan sekitar 80-85% terhadap DKKP perlu diubah khususnya melalui Bajet 2017.

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) akan meninjau perkembangan Bajet 2017 dengan harapan tawaran Bajet 2017 dapat diseimbangkan sumbangannya untuk generasi muda dan kepentingan rakyat keseluruhan.

“Bertekad Melebar Muafakat"
“Inilah Penyelesaian Kita”

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh

Share on Myspace