Sertai Bersih 5, terserah kepada Lembaga Disiplin

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: PAS tidak boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada mana-mana ahli parti yang melanggar disiplin melainkan ada aduan dibuat terhadapnya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS telah membuat keputusan tidak hadir ke himpunan Bersih 5.0 di Dataran Merdeka, Sabtu lepas.

“PAS membuat keputusan tidak hadir himpunan Bersih. Alhamdulillah, ahli-ahli dan penyokong PAS patuh kepada arahan dan mereka tidak pergi kerana kita lihat di sana terdapat tidak ada suatu kawalan yang baik untuk mematuhi ketenteraman awam.

“Di mana keamanan ini adalah hak kepada semua. Kita perlu melalui proses demokrasi termasuklah demonstrasi. Bukan sahaja pilihan raya, demonstrasi boleh tetapi biarlah dengan ada adab-adab yang baik.

“Kita tidak mahu demonstrasi ini berlaku pertembungan yang merugikan rakyat awam, bukannya matlamat protes yang kita tujukan itu. Ini sangat penting perlu diawasi,” ujarnya kepada media ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu Kali Ketiga Penggal Keempat berhenti rehat, hari ini.

Mengenai segelintir ahli parti yang sengaja menghadiri himpunan itu, beliau menyerahkannya kepada Lembaga Disiplin PAS.

“Terpulang kepada disiplin parti jika ada pengaduan. Kita tidak boleh bertindak kalau tidak ada pengaduan,” ujarnya yang juga Adun Rhu Rendang. - HARAKAHDAILY 21/11/2016

Share on Myspace