RUU 355: PAS masih berusaha bawa ke parlimen

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih mempunyai komitmen, berusaha dan menaruh keyakinan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 itu akan dibawa lagi ke Parlimen.

Katanya, buat masa ini PAS telah berjaya membawa RUU Akta 355 itu ke parlimen bagi bacaan kali pertama.

Menurut beliau, bacaan kali kedua nanti membolehkan RUU Akta 355 itu dibahas oleh setiap ahli parlimen sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang.

“Insya Allah, kita masih lagi berusaha untuk dibawa ke parlimen. Sehingga ini kita telah berjaya mencapai bacaan kali yang pertama. Kali yang pertama ini kita belum lagi dapat mengemukakan hujah.

“Kali ini kita dapat bacaan kali kedua. Kedua ini diberi peluang untuk berhujah termasuklah daripada penyokong, termasuk pembangkang yang tidak setuju boleh kemukakan hujah-hujah mereka.

“Dan itu terpulang kepada speaker untuk memberi peluang semasa perbahasan,” jelas beliau yang juga Adun Rhu Rendang ketika ditanya media mengenai perkembangan RUU Akta 355 ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ketiga Penggal Keempat berhenti rehat, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, PAS tidak pernah berputus asa dalam usaha menegakkan syariat Islam meskipun Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 masih tidak dibentang kali kedua pada persidangan Parlimen. - HARAKAHDAILY 21/11/2016

Share on Myspace