PAS jumpa Bukit Aman runding isu salah guna ISA

MOHD FADLI GHANI | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: PAS JUMPA BUKIT AMAN RUNDING ISU SALAH GUNA ISA DALAM OPERASI LALANG (22 NOVEMBER 1987)

PADA hari ini dalam tahun 1987, sejumlah enam orang pemimpin utama PAS diketuai oleh Pak Haji Yusof Rawa, Yang Dipertua Agung PAS telah mengadakan rundingan dengan Ketua Polis Negara, Dato' Hanif Omar di Bukit Aman kerana isu penyalahgunaan ISA.

Sejak 27 Oktober 1987, Menteri Dalam Negeri telah menahan seramai 106 orang tokoh politik, ahli akademik, aktivis masyarakat dan orang perseorangan di bawah Seksyen 8 dan 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang. Pada pandangan PAS, penahanan 106 orang termasuk 15 orang ahli PAS adalah satu bentuk salah guna kuasa dan kezaliman ke atas rakyat.

Operasi Lalang yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 ini adalah berpunca daripada perbalahan kaum antara Umno dan MCA. Pada asalnya ia berkait dengan isu penempatan guru Melayu di sekolah Cina, kemudian merebak menjadi isu perkauman. MCA, Gerakan dan DAP telah mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu, sehingga mendorong Pergerakan Pemuda Umno yang diketuai Dato' Mohd Najib Abdul Razak mengatur himpunan Melayu besar-besaran di Kuala Lumpur pada 17 Oktober 1987. Ekoran daripada itulah, maka Operasi Lalang dilancarkan sehingga ramai pemimpin politik, termasuk pimpinan PAS telah ditahan di bawah ISA.

Antara pemimpin dan ahli PAS yang turut ditahan ialah Ustaz Abdul Halim Arshad (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Abdul Khalid Samad (Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat), Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Suhaimi Said, Tuan Guru Haji Mohd Arif Yaakob, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Mohd Yusof Hussein, Mohd Ali Hanafiah Ismail dan Nawawi Yusof. Manakala beberapa lagi ditahan kerana didakwa terlibat dengan kegiatan Jundullah iaitu Ustaz Buniyamin Yaakob, Ustaz Omar Khalid, Zainuddin Abdullah, Tengku Shukri Tengku Zainal dan Kamarulzaman Ismail. Kesemua mereka telah ditahan minimum dua tahun di Kem Tahunan Kemunting, kecuali Ustaz Abdul Halim Arshat, Tuan Guru Haji Mohd Arif Yaakob, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Mohd Ali Hanafiah Ismail dan Nawawi Yusof yang dibebaskan selepas siasatan selama 60 hari. PAS menganggap penahanan ini adalah satu kezaliman dan mendesak supaya mereka dibebaskan.

Dalam memorandum PAS kepada Perdana Menteri pada 19 November 1987, PAS mendakwa ia tidak terlibat dengan isu perkauman ini, sebaliknya ia adalah angkara parti-parti komponen BN dan DAP, selain merupakan satu rancangan kerajaan untuk menghancurkan gerakan Islam. PAS juga bertegas bahawa konflik ini membuktikan kegagalan nasionalisme dalam mewujudkan perpaduan, sedangkan perpaduan sebenar hanya wujud atas nama Islam.

Majlis Syura Ulamak PAS pada 20 Oktober 1987 telah melarang ahli-ahli PAS terlibat dalam perhimpunan perkauman, sedangkan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 19 Oktober 1987 telah memutuskan supaya PAS menemui pihak Ketua Polis Negara.

Ekoran itu, pada 22 November 1987, satu rombongan pimpinan PAS Pusat terdiri daripada Pak Haji Yusof Rawa (Yang Dipertua Agung PAS), Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor (Timbalan Yang Dipertua Agung PAS), Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat), Syed Ibrahim Abdul Rahman, Wan Abdul Muttalib Embong dan Haji Ahmad Subky Abdul Latif telah menemui Dato' Hanif Omar, Ketua Polis Negara di Bukit Aman.

Rombongan ini telah menegaskan bahawa PAS bukan sahaja tidak terlibat dalam isu perkauman tajaan BN ini, bahkan ahli-ahli PAS juga tidak terlibat dalam kegiatan Jundullah seperti yang didakwa. PAS mendesak supaya mereka dibebaskan atau satu pendakwaan terbuka di mahkamah dibuat, selain menegaskan bahawa isu perkauman ini sengaja ditimbulkan bagi membolehkan pemimpin pembangkang ditangkap dan kelangsungan kuasa BN dapat dipertahanan ketika BN menghadapi krisis ekoran perpecahan dalaman Umno dan MCA.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
22 November 2016 - HARAKAHDAILY 22/11/2016

Share on Myspace