Halau duta Myanmar pulang, sekat pekerja masuk

NAZMAN CHE IBERAHIM | .

Halau Duta Myanmar Pulang, Sekat Kemasukan Pekerja Dari Negara Mereka

Berhimpun, berdemonstrasi, berucap berapi-rapi, berdoa dengan tangis air mata, kemudian menyerahkan memorandum bantahan ke Pejabat Kedutaan dan akhirnya membuat sidang akhbar mengecam pembunuhan saudara seislam kita di sana. Ini adalah sifir dan format tetap (by default) kita di negara ini atas nama cintakan saudara seagama yang dibunuh kejam di Myanmar, Bangladesh malahan mana-mana negara sekalipun. Setiap kali berlaku pembunuhan dan kezaliman, kita hanya mengulangi skrip ini. Betul atau tidak, tuan-tuan?

Atas sebab itu, mereka tidak pernah takut untuk mengulangi pembunuhan, kezaliman dan kekejaman ini untuk kali yang seterusnya. Kerana apa? Kerana mereka tahu sifir dan format kemarahan umat Islam serantau hanyalah setakat itu sahaja. Ia hanya dalam bentuk demonstrasi-berucap-berdoa-serah memorandum dan sidang media sahaja. Malahan ada yang ke tempat demonstrasi hanya untuk bergambar dan memuat naik status Facebook semata-mata.

Episod kekejaman dan kezaliman rejim Myanmar kepada umat Islam serta pejuang agama Allah SWT ini seakan-akan tiada berkesudahan. Semakin hari semakin ramai yang mati dibunuh tanpa sekelumit pun peri kemanusiaan. Mereka tiada pembela dan pembenteng utama. Tiada secebis harapan pun di dalam hati mereka. Hampa.

Mengikut Amnesty International, Muslim Rohingya menderita dan didera tanpa perikemanusiaan di bawah junta Myanmar sejak tahun 1978 lagi sehinggakan terlalu ramai yang telah lari ke Bangladesh dan negara negara sekitar. Bahkan diakui di serata dunia, Muslim Rohingya adalah satu bangsa minoriti yang paling kuat menerima tekanan dan penderaan dalam sejarah bangsa kecil mereka.

Dan konflik bertambah rumit apabila terjadinya tragedi di Rakhine pada tahun 2012 sehinggakan ribuan yang terkorban dan lebih seratus ribu menjadi pelarian di serata tempat. UNHCR pula melaporkan sejak 2014 lebih 1,100 orang pelarian yang berlepas melalui laut dari Myanmar telah mati dan lebih 1,000 orang lagi dipercayai hilang di lautan luas pada tahun tersebut.

Mereka lari meninggalkan negara Myanmar setelah pembunuhan dan kekejaman berterusan tanpa beradu. Hidup dalam ketakutan dan kerungsingan saban hari dan setiap malam. Lalu, mereka meninggalkan negara tanah tumpah darah sendiri yang telah menafikan kerakyatan bangsa mereka.

Akta Kewarganegaraan 1982 di Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai salah satu bangsa di negara tersebut. Malahan jika mereka mahu mendapatkan juga taraf warganegara, mereka perlu membuktikan bahawa nenek moyang mereka telahpun wujud dan menempati negara Burma sejak tahun 1823 lagi.

Tuan-tuan, siapakah antara kita, manusia biasa yang menyimpan salasilah keluarganya sejak 200 tahun yang lampau? Malahan jika kita ada menyimpan pun sejarah itu, bagaimana pula mahu membuktikan bahawa moyang kita sudah pun wujud sejak 1823 di sesebuah negara?

Myanmar semakin melampaui. Darah saudara seagama kita tidak boleh tumpah lagi ke bumi ini. Kerajaan Malaysia wajib memutuskan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Junta ini, halau duta mereka pulang dan tutup pejabat mereka. Panggil pulang duta Malaysia di Perbandaran Dagon, Yangon serta sekat kemasukan pekerja asing dari Myanmar dan berikan perlindungan kepada pelarian Rohingya.

Bukan hanya Kerajaan Israel Zionis yang perlu kita pertegaskan prinsip dan dasar kita, namun kerajaan zalim Myanmar pun wajib mengerti apa itu nilai persaudaraan dalam Islam! - HARAKAHDAILY 22/11/2016

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Share on Myspace