Hanya longgokan sisa kayu, bukan balak

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Bukan balak sebaliknya longgokan sisa-sisa kayu hanyut yang terlekat di jambatan sementara di Kampung Setelu kelmarin ketika hujan lebat di hulu Sungai Nenggiri.

Penyelia Dun Nenggiri Syed Azhar Syed Alwi berkata jambatan sementara dibina rendah hanya beberapa kaki dari air menyebabkan mudah tenggelam apabila paras sungai meningkat.

Katanya, dengan kos pembinaan hampir RM900,000 sepatutnya jambatan sementara itu dibina lebih tinggi daripada kedudukan sekarang.

“Sebab itulah jambatan sementara yang berlantai besi dan berpagar dawai mudah tenggelam apabila paras Sungai Nenggiri meningkat.

“Tahun ini hanya sekali jambatan sementara itu tenggelam. Dan tahun lepas berlaku mendapan di tebing sebelah Kampung Star sehingga tidak boleh dilalui kenderaan,” katanya di sini.

Jambatan sementara dibina menggantikan jambatan sedia ada yang runtuh akibat bah besar pada akhir Disember 2014.

Jambatan itu menjadi laluan utama menghubungkan Gua Musang dan Jeli sebagai laluan alternatif pengguna jalan raya di musim perayaan.

Struktur jambatan itu sekarang terbenam di dasar Sungai Nenggiri.

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pernah memberitahu kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi membina jambatan baharu di Setelu.

Bagaimanapun sehingga sekarang projek itu tidak menjadi kenyataan.

“Dakwaan yang mengatakan kayu balak yang terlekat di jambatan sementara tidak berasas kerana hanya sisa-sisa kayu kecil yang sudah reput ditemui.

“Sudah menjadi kelaziman apabila paras sungai meningkat kayu-kayu lama yang berada di tebing sungai akan hanyut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/11/2016

Share on Myspace