Bajet Terengganu 2017 ‘gula-gula’ PRU14

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menyifatkan Bajet 2017 yang dibentangkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, semalam sebagai ‘gula-gula’ Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berpendapat Bajet 2017 itu masih dilihat sebagai ‘manisan’ ke arah persiapan kerajaan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, bajet yang telah dibentangkan beberapa tahun lalu melebihi RM2 bilion tetapi tahun 2017 ini menguncup kepada RM1.8 bilion.

“Tapi, realiti yang lebih penting dalam usaha melibatkan pendidikan dan sebagainya kurang dititikberatkan. Peruntukan-peruntukan yang disebut itu sebagai persiapan pilihan raya atau bajet pilihan raya,” ujarnya.

Pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat, Dun Terengganu Ketiga Belas, Ahmad Razif telah membentang Bajet 2017 yang defisit berjumlah RM1.867 bilion, berbanding anggaran hasil sebanyak RM1.697 bilion.

Ustaz Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka berkata, sepatutnya bajet itu lebih kepada penyelesaian masalah rakyat seperti isu harga barang, cukai GST dan sebagainya.

“Yang sepatutnya lebih berakar umbi kepada keperluan dan penyelesaian masalah rakyat khususnya melibatkan peningkatan kos harga barang, GST, cukai dan sebagainya yang menghimpit rakyat, peluang pekerjaan dan isu kesihatan.

“Itu sebenarnya permasalahan-permasalahan utama rakyat. Tetapi, bajet tidak menjurus ke arah itu dan lebih kepada ‘gula-gula’ persiapan untuk menghadapi pilihan raya,” ujarnya.   

Adun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah turut mengkritik Bajet 2017 itu kerana baharu sekarang kerajaan cuba menggunakan konsep perbelanjaan berhemah meskipun telah lama ditegur oleh PAS.

Beliau memberi contoh simpanan wang royalti jika diasingkan sebahagiannya bagi membayar hutang dan simpanan ketika keadaan ekonomi gawat, sedikit sebanyak akan membantu kerajaan mengurus negeri dengan lebih efisyen.

Katanya, hutang negeri kepada kerajaan Persekutuan pada tahun lalu berjumlah hampir RM1 billion.

“PAS sudah semenjak dahulu lagi menegur kerajaan Umno BN Terengganu ini supaya tidak sewenang-wenangnya guna wang royalti itu, kita mahu supaya menjadi simpanan di masa kegawatan ekonomi.

“PAS telah membuktikan ketika kita memerintah dahulu, dengan wang royalti ditarik balik, Kerajaan PAS Terengganu berjaya menguruskan negeri dengan baik kerana perbelanjaan berhemah yang diamalkan PAS ketika itu,” jelasnya.

Beliau menyifatkan bajet yang mengutamakan bayaran ‘one off’ kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) itu tidak relevan.

Sepatutnya, kata Ketua Penerangan PAS Terengganu itu peruntukan hanya dikeluarkan apabila ada justifikasi program dimaklumkan oleh J3K terlebih dahulu.

“Dalam Bajet 2017, J3K telah diberi peruntukan sebanyak RM5,000 untuk setiap 991 J3K di seluruh negeri Terengganu dengan memperuntukkan sebanyak RM5 juta," katanya. - HARAKAHDAILY 22/11/2016

Share on Myspace