Isu tanah, PAS Putatan sedia beri kerjasama

ASRUL SAMAT | .

KOTA KINABALU: Penempatan yang dirobohkan serta pemindahan tempat tinggal menjadi satu kegusaran kepada sebahagian besar penduduk di kampung Sembulan, antara faktor utamanya ialah untuk memberi ruang kepada pembangunan.

Mengambil perhatian yang serius tentang perkara ini, pada 19 November 2016 lalu, Lajnah Tanah PAS Kawasan Putatan telah mengadakan satu perbincangan bersama warga Kampung Sembulan bagi mendapatkan beberapa maklumat penting berkenaan status pemilikan, jumlah keluarga penduduk yang terlibat dan langkah-langkah awal yang telah diambil tindakan oleh pihak keluarga yang terbabit serta pihak komuniti setempat.

Turut hadir dalam pertemuan ringkas tersebut ialah rombongan daripada pihak AJK Lajnah Tanah PAS Pusat Iszuree Ibrahim dan Dr. Abu Bakar serta Pengerusi Lajnah Tanah PAS Negeri Pulau Pinang, Yaakob Omar yang telah berkongsi pengalaman dalam membantu penduduk yang mengalami nasib yang sama, iaitu diarah keluar oleh pemaju dan rumah dirobohkan, seperti yang pernah berlaku di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, yang akhirnya mendapat perhatian dan seterusnya diambil tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Oleh hal yang demikian, Lajnah Tanah PAS Putatan bersedia untuk memberikan kerjasama dalam usaha untuk membantu penduduk di Kampung Sembulan berkenaan hal ini seperti mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar hartanah dan pengamal undang-undang.

Pada masa yang sama, Lajnah Tanah PAS Putatan memohon kerajaan negeri Sabah untuk mengambil perhatian tentang masalah tanah di Kampung Sembulan. – HARAKAHDAILY 22/11/2016

Share on Myspace