Pelarian Rohingya dihalang masuk Bangladesh

ASMAA YUSOF | .

Sejumlah umat Islam Rohingya cuba melarikan diri ke Bangladesh akibat kekejaman yang semakin meruncing di barat Myanmar. Demikian menurut penduduk dan pegawai tentera Bangladesh dipetik dari berita Al-Jazeera bertarikh 17 November.

Agensi berita Reuters turut melaporkan situasi yang sama Rabu lalu dengan menyatakan sebahagian penduduk Rohingya ditembak semasa cuba melarikan diri menyeberangi Sungai Naaf yang memisahkan antara Myanmar dan Bangladesh manakala pelarian yang dapat sampai ke seberang pula dihalang pengawal sempadan Bangladesh dari memasuki negara itu.

Al-Jazeera turut dipetik berkata jumlah mangsa korban serangan terbaru berjumlah 130 orang; menyaksikan siri pertumpahan darah paling serius selepas perselisihan di barat Rakhine yang mengorbankan ratusan nyawa empat tahun lalu.

Krisis tersebut membuktikan kegagalan pengawasan tentera di bawah pentadbiran pemenang Anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, yang menaiki tampuk pemerintahan sejak tujuh bulan lalu.

Operasi ganas yang berlarutan lebih seminggu serta menggunakan helikopter itu merupakan serangan balas selepas sembilan pegawai polis dilaporkan terbunuh dalam serangan terhadap tiga pos sempadan pada 9 Oktober lalu.

Pihak tentera turut menutup pintu masuk ke wilayah bergolak yang diduduki majoriti etnik Rohingya dan menghalang bantuan dan pemerhati daripada memasuki wilayah itu. Menurut sumber sama, sekitar 500 orang pelarian etnik Rohingya telah melarikan diri sejak serangan Oktober lalu.

Dalam pada itu, Pegawai Komander Timur Bangladesh, Leftenan Kolonel Anwarul Azim, berkata 86 orang etnik Rohingya termasuk 40 wanita dan 25 kanak-kanak pelarian yang cuba memasuki Bangladesh telah dihalang oleh pengawal keselamatan sempadan pada Selasa lalu.

Sumber Reuters turut menjangkakan kumpulan pelarian yang gagal memasuki Bangladesh itu tidak akan kembali ke kampung-kampung mereka di Myanmar serta berkemungkinan terkandas di lautan.

Agensi berita AFP turut mengesahkan laporan dari pemimpin komuniti Rohingya dengan menyatakan sekitar 200 orang penduduk Islam Rohingya terkandas di sempadan Bangladesh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini telah mengisytiharkan Rohingya sebagai salah satu etnik yang paling teruk ditindas.

Selain dinafikan hak kewarganegaraan, mereka dilabel sebagai pendatang haram oleh majoriti penduduk Myanmar yang beragama Buddha walaupun mempunyai sejarah asal usul yang panjang di negara itu. Negara Bangladesh pula enggan mendaftarkan ribuan pelarian Rohingya yang kini menetap di sempadan negara itu. (ulamasedunia.org)

Share on Myspace