Sungai tercemar: PAS desak batal perlombongan bauksit

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS dan Gagasan Sejahtera melalui Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar PAS Pusat (Latas) mendesak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam menunaikan janjinya untuk membatalkan perlombongan bauksit di Kuantan jika didapati mengancam kesihatan.

Hal ini kerana menurut Setiausaha Latas Huzir Sulaiman berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 membuktikan bahawa beberapa sungai dari sembilan buah sungai yang diambil sampel airnya dikenalpasti mengandungi logam besi berat dan aluminium.

Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kualiti air sungai di kawasan aktiviti perlombongan bauksit, dikesan terdapat kandungan logam berat yang tinggi mengikut analisis audit terhadap laporan pensampelan kualiti air dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pensampelan itu dilaksanakan berdasarkan tiga jenis parameter termasuklah logam berat iron dan aluminium di Sungai Riau, Mabok, Pinang, Kuantan dan Kuala Sungai Karang.

Analisis audit terhadap laporan pensampelan itu juga mendapati kebanyakan sungai berkenaan melebihi Standard Kualiti Air Kebangsaan untuk Malaysia.

Sebelum ini S Subramaniam berkata, satu-satunya cara untuk mengelakkan risiko kesihatan dari perlombongan bauksit adalah dengan menghentikannya walaupun kesannya akan berlaku dalam tempoh jangka panjang.

"Jika sungai tercemar, maka pandangan saya ialah kementerian tidak perlu membenarkan perlombongan bauksit sama sekali," katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2016

Audit: High Concentration Of Heavy Metals In River Water At Bauxite Mining Area
(Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v8/ge/newsgeneral.php?id=1304629)

Subramaniam wants bauxite mining scrapped if it threatens health
(Sumber: http://www.thesundaily.my/node/345213)

Share on Myspace