Gagasan kecam pihak guna gambar Tunku Abdul Rahman

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Bersatu (Ikatan) mengecam tindakan kumpulan Baju Merah yang menggunakan gambar Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman pada baju mereka.

Menurut Naib Presiden Ikatan Tunku Muinuddin Putra tindakan kumpulan Baju Merah yang diketuai oleh Datuk Seri Jamal Md Yunos sangat memalukan kerana memakai baju yang  tertera gambar pengasas ikon partinya.

"Perlu diingat Tunku Abdul Rahman adalah seorang lelaki dan pemimpin yang mencintai keamanan dan dia selalu berkata bahawa terdapat ruang yang mencukupi untuk semua bangsa di negara ini," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga merupakan cucu kepada Tunku Abdu Rahman berkata, tokoh itu sentiasa mempunyai ruang untuk mewujudkan rundingan damai bukannya mengambil tindakan turun ke jalan sehingga mengundang kesusahan kepada orang ramai.

"Dia tidak berpegang pada apa yang Kumpulan Merah atau Kuning lakukan malah beliau tidak pernah terbabit dengan tindakan itu," tambah beliau.

Sebelum ini menerusi laman sosial Twitter, Tunku Munawirah mempersoalkan tindakan pemimpin gerakan tersebut, Jamal Md Yunos meletakkan gambar bapa kemerdekaan itu pada baju-T kumpulannya.

“Oi Jamal hang nak buat apa dengan gambaq Tok aku tu. Haishh! Loqlaq #BERSIH5,” tulis Tunku Munawirah dalam entrinya. – HARAKAHDAILY 22/11/2016

Share on Myspace