Rohingya: PUM gesa Malaysia, OIC campur tangan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) melahirkan rasa kecewa di atas sikap pemimpin dunia yang masih berdiam diri di atas kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya.

"Masyarakat Rohingya yang beragama Islam ini telah dizalimi dan ramai yang dibunuh dengan kejam.
 
"Kampung-kampung etnik Rohingya dibakar, masjid dimusnahkan, wanita diperkosa, anak kecil tidak berdosa turut dibunuh tanpa belas kasihan," ujar Yang Dipertua PUM, Datuk Syeikh Abdul Halim Abd Kadir dalam satu kenyataan.
 
Sehubungan itu, katanya PUM mendesak agar kerajaan Myanmar menghentikan serta-merta kegiatan genocide itu.

Tambahnya, PUM juga meminta campur tangan kerajaan Malaysia dan negara-negara Islam melalui OIC bagi mendesak kerajaan Myanmar menghentikan tindakan zalim dan biadap tersebut.
 
PBB juga, ujar beliau perlu campur tangan dengan segera supaya perkara tidak berlanjutan.
 
Menurutnya, media mainstream antarabangsa seolah tidak mahu melaporkan serta berdiam diri terhadap isu itu yang berlaku saban hari.

Beliau menambah, media antarabangsa mesti membongkar kezaliman yang dilakukan kerajaan Myanmar agar dunia dapat mengutuk keras tindakan mereka.
 
"Kita tidak mahu berita Rohingya yang terkandas di laut dan digelar sebagai ‘people of the boat’ berulang kembali," katanya lagi.

Oleh sebab itu, ujar beliau apa yang dilakukan ke atas etnik Rohingya wajiblah ditentang habis-habisan dan dihentikan serta merta. - HARAKAHDAILY 22/11/2016

Share on Myspace