Yik longgar syarat kemasukan ke maahad kawalan

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (Yik) hari ini membuat pengubahsuaian baharu bagi memberi peluang pelajar yang berkelayakan melanjut pengajian di tingkatan satu sekolah agama tajaannya.

Permohonan untuk memasuki Maahad Sains Tok Guru perlu sekurang-kurangnya keputusan UPSR 3A 3C.

Manakala maahad kawalan (2A 4C), maahad tahfiz sastera (1A 5C) dan maahad pilihan (1A 5D). Mahaad Tahfiz Sastera iaitu Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al-Kauthar Peringat dan SMU (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas hari ini.

Katanya, Yik berbuat keputusan demikian setelah mengambil kira rayuan ibu bapa berdasar keputusan UPSR baru-baru ini.

“Ekoran keputusan UPSR 2016 yang tidak memberangsangkan di peringkat negeri dan kebangsaan, perbincangan diadakan bersama pengurusan Yik,” ujarnya.

Maahad kawalan pula iaitu Maahad  Muhammadi Lelaki; Maahad Muhammadi Perempuan; Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas; Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah.

Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin, Tumpat; Maahad Tahfiz Sains Al Muhammadi, Nipah; Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong dan Maahad Tafiz Al Quraan Asriah, Banggol Chicha, Pasir Mas.

Dr Fadzli juga berkata maahad kawalan menawarkan pengajian agama, hafalan al-Quran dan subjek sains.

Katanya, borang permohonan perlu dihantar bersama Wang Pos RM5.00 dan salinan keputusan UPSR yang disahkan bagi kemasukan ke maahad kawalan.

Sebarang kemusykilan mengenainya boleh rujuk Unit Hal Ehwal Murid Yik. – HARAKAHDAILY 22/11/2016

Share on Myspace