Perpaduan Islam

NASRUDIN HASSAN | .

Umat Islam wajib bersatu. Jangan berpecah belah justeru itu adalah larangan Allah swt. Lihat penyata wahyu:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu berpecahbelah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Aali Imran: 103)

Perpaduan adalah kalimah suci dan mulia  namun bergantung kepada objektif dan matlamatnya. Bersatu padu mestilah diikat dengan Tali Allah iaitu Al Islam. Kebenaran tidak boleh bersatu dengan kebathilan malah wajib berpisah dan berpecah antara haq dan bathil. Ia telah ditegaskan oleh Allah swt:

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan (janganlah) kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya. (Surah Al Baqarah: 42)

Menyatupadukan umat Islam bagi mengembalikan kekuatan ummah dan menjulang kemuliaan Islam wajib dilakukan dan diterima secara positif oleh semua pihak.

Perpecahan umat Islam akan memulangkan fitnah kepada Islam dan ummatnya. Kecelakaan dan kebinasaan bakal menimpa mereka. Hilang kekuatan dan kehebatan ummah di mata musuh-musuh Islam. Lihat bagaimana Allah swt membuat ketetapan:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu bertelingkah antara satu sama lain; kalau tidak nescaya kamu akan celaka dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. (Surah Al Anfaal: 46)

Musuh Islam memang sesak nafas dan sebak dada menyaksikan usaha umat Islam menyatupadukan saf mereka dengan Islam menjadi agenda utama. Mereka tidak mahu umat Islam bersatu padu sebaliknya mereka mahu umat Islam selamanya berpecah belah.

Pelbagai propaganda dan provokasi dicetuskan agar umat Islam terus terperangkap dalam krisis perpecahan yang berpanjangan. Saat ummat Islam pecah dan retak, mereka datang dengan gerak kerja yang terancang untuk menghancurkan umat Islam secara berperingkat. Ia telah didedah oleh Allah swt bagaimana pelan tindakan dan modus operandi musuh Islam.

وَدَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُم مَّيْلَةً وَاحِدَةً

Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. (Surah An Nisa': 102)

Umat Islam yang mutadayyin (kuat pegangan agamanya) pasti akan memikirkan apa yang diperintah oleh Allah swt sehingga akhirnya mereka mampu menunaikan perintah tersebut. Iklim sosial dan politik hari ini menjadi faktor untuk umat Islam kembali bangkit menjulang izzah (kehebatan) mereka dengan memperkukuh dan menyatupadukan tenaga mereka.

Islam dan syariatnya mesti menjadi sendi utama pada penyatuan ummah ini. Bukan kepentingan politik dan agenda kuasa pihak tertentu. Tetapi mengangkat kepentingan Islam dan umatnya. Berpaksi kepada perlaksanaan syariat Islam dan mengembalikan sistem politik serta ekonomi yang patuh syariah.

Penyatuan umat Islam mesti diusaha dan dilunaskan sepanjang masa. Ia tidak boleh tertakluk kepada musim tertentu yang akhirnya menyerlahkan kepentingan tertentu yang berselindung di sebalik seruan perpaduan.

Perpaduan umat Islam adalah satu kewajipan yang merentas sempadan bangsa, kaum, parti politik dan daerah penempatan. Fakta menzahirkan betapa musuh Islam tidak mengenal sempadan itu. Mereka mensasarkan Islam dan umatnya tanpa mengira rupa dan garis sempadan. Maka umat Islam mesti bangkit memperjuangkan Islam dan menyatukan ummah dengan Islam.

Inilah Penyelesaian Kita

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 22/11/2016

Share on Myspace