Rohingya duka berpanjangan tanpa pembelaan

MOHD AKMAL KAMARUDDIN | .

Rakhine menjadi saksi pembataian berterusan tentera Myanmar terhadap etnik minoriti yang beragama Islam, Rohingya. Pembunuhan tanpa penentangan, runtuhan masjid, pembakaran kampung, wanita dirogol dan penangkapan kanak-kanak juga warga tua menjadikan bumi Arakan tempat paling memilukan dalam dunia.

Tindakan Bangladesh tanpa perikemanusiaan menutup sempadan menjadikan keadaan lebih parah. Ironisnya, Bangladesh merupakan negara keempat penduduk muslim terbesar di dunia dengan kepadatan penduduk melebihi 130 juta muslim dengan Islam merupakan agama rasmi negara tetapi membiarkan saudara Islam etnik Rohingya diperlakukan sedemikian.

Kemenangan Aung San Suu Kyi dalam pilihan raya Myanmar dengan "tagline" demokrasi hanya sandiwara. Malahan Anugerah Nobel Keamanan wajib ditarik kembali daripada beliau. Di mana perjuangan keamanan dan demokrasi beliau ketika tirani tentera Myanmar bermaharajalela rakus memamah Arakan?

Justeru itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak), mendesak kerajaan Malaysia untuk membawa suara majoriti umat Islam di Malaysia ke OIC, PBB dan Asean agar etnik Rohingya diberikan pembelaan dan keadilan sewajarnya.

Kerajaan Malaysia juga perlu mendesak OIC, PBB dan Asean untuk menyekat dan memberi tekanan ekonomi selagi Myanmar tidak memberhentikan serangan dan penindasan.

DPPN Perak juga mendesak agar kerajaan Malaysia menutup kedutaan Myanmar di atas kezaliman yang dilakukan. Malaysia negara aman yang tidak perlukan negara zalim dalam rakan niaga dan diplomasi. Duta Myanmar perlu memastikan nasib rakyatnya dibela jika ingin kembali semula.

DPPN Perak turut mencadangkan agar Kerajaan Negeri Perak bersedia menerima pelarian etnik Rohingya untuk ditempatkan sementara bagi menjamin keselamatan juga atas nama kemanusiaan. Perak merupakan negeri yang sangat luas. Masih boleh lagi dibangunkan satu kawasan contohnya seperti di Pulau Sembilan berhampiran Bagan Datoh untuk menempatkan mereka.

DPPN Perak menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya pemuda Perak untuk turun menyatakan kebersamaan dalam Himpunan Solidariti Ummah dan Munajat Perdana pada 26 November 2016, hari Sabtu jam 1:00 petang sehingga 4:00 petang di pekarangan Masjid Negara.

Semoga usaha kecil kita ini dapat memberi makna yang besar buat saudara kita yang dizalimi dan teraniaya.

Mohd Akmal Kamarudin
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
23 Safar 1438 / 23 November 2016 - HARAKAHDAILY 23/11/2016

Share on Myspace