Tubuh pakatan negara Asean hadapi kemelut Rohingya

Dr Muhammad Atiullah Othman | .

Isu Rohingya merupakan isu antarabangsa dan kemelut paling buruk kerana jenayah terhadap penduduk Rohingya tiada kesudahan. Walaupun parah, tiada reaksi dari para pemimpin anggota Asean. Hanya kedengaran bantahan di kalangan rakyat bawahan tapi tidak diendahkan.

Sebenarnya, pihak kerajaan Asean rata-ratanya mempunyai masalah dalam negara persis masalah Rohingya. Seperti Indonesia pernah mempunyai masalah dengan Timur Timor dengan berakhirnya tertubuhnya kerajaan Timor Leste pada 20 Mei 2002. Barangkali inilah tindakan paling aman yang dapat membendung masalah Indonesia-Timur Timor.

Namun, masalah Filipina dengan penduduk Moro tiada kesudahan. Bilangan penduduk Moro adalah satu pertiga dari jumlah penduduk Filipina. Angkatan bersenjata dari kalangan bangsa Moro menentang kerajaan Filipina tiada pula kesudahan. Justeru, Filipina menjemput Malaysia menjadi orang tengah menyelesaikan kemelut Filipina-Moro. Akhirnya, Undang-undang Asas Bangsamoro telah digubal yang mengiktiraf kepimpinan Moro yang terhasil dari rundingan kerajaan Filipina dengan Kumpulan Pembebasan Bangsa Moro (MILF).

Namun, penyelesaian Filipina tidak juga reda. Malah, konflik merebak ke Lahad Datu, Sabah apabila kumpulan dari bangsa Moro yang mendakwa waris Kesultanan Sulu menuntut Sabah dari kerajaan Malaysia. Muncullah satu kemelut baru dan konflik panjang antara Malaysia dan sebahagian kecil bangsa Moro. Masalah ini tidak selesai dan mengheret pihak tentera Malaysia menumpukan kawalan rapi di Sabah.

Begitu juga Selatan Thailand terutamanya wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani yang mempunyai kemelut dengan Kerajaan Thailand. Banyak kes sudah berlaku semenjak tahun 1960-an lagi dan paling parah pada 2004. Isu paling popular adalah penahanan penunjuk perasaan di bulan Ramadan yang berakhir dengan tragedi kematian ratusan penduduk Selatan Thailand. Isu ini bagaikan isu etnik yang saling berbalas serangan antara kerajaan Thailand dan pemberontak.

Dengan pelbagai masalah yang timbul di Asean, para pemimpin anggota Asean bersikap tunggu dan lihat. Lebih mencari titik persefahaman antara anggota Asean dari memilih sikap masuk campur urusan negara lain. Bahkan, rantau ini sudah mempunyai kes-kes peringkat antarabangsa membabitkan Laut China Selatan dan Kepulauan Spratly sehingga mengundang campur tangan Amerika Syarikat.

Apabila timbul isu Rohingya, ia tentu sekali tidak menarik minat anggota Asean. Malah, isu Rohingya tidak masuk dalam agenda dalam Mesyuarat Anggota-anggota Asean. Namun, ini tidak bermakna negara-negara Islam boleh berlepas tangan dari isu Rohingya. Usah hanya diharapkan suara dari Asean. Negara-negara Islam yang merupakan anggota Asean boleh berpakat dan bersatu menjuarai isu Rohinggya.

Negara-negara Islam Asean yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Brunei sepatutnya menubuhkan sekretariat atau badan keamanan untuk memastikan kaum Rohingya dapat pembelaan sewajarnya. Tindakan ini merupakan tindakan untuk menjamin keselamatan serantau. Bukan hanya menyediakan penempatan pelarian Rohingya sebagaimana amalan sedia ada.

Bayangkan jumlah penduduk Rohingya mencecah angka 1.4 juta orang merupakan bilangan yang ramai. Jikalau kesemua mereka merupakan pelarian, negara-negara Asean bakal mempunyai masalah bagi menampung bilangan yang ramai. Tindakan yang wajar adalah membela penduduk Rohingya agar dapat kekal di sana sekaligus mengelak penduduk Rohingya dari menjadi pelarian antarabangsa yang sudah mencecah angka lebih 800,000 orang.

Pakatan negara-negara Islam Asean sudah sepatutnya wujud kerana mereka bukan sahaja berkongsi agama, mereka juga berkongsi budaya hidup Melayu. Malah, geo-politik Indonesia, Malaysia dan Brunei yang pernah diberi jolokan Kepulauan Melayu merupakan pakatan yang paling serasi dan kuat bagi menghadapi kemelut rantau ini termasuklah isu Rohingya. (ulamasedunia.org)

Share on Myspace