Aktivis Peka Pahang letak jawatan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (Jaring) Kelantan yang melakukan sekatan laluan lori balak di Simpang Petei dilapor mengakui bahawa sebuah NGO menyalur bantuan kepada mereka.

Setiausaha Jaringan, Mustafa Along merakam ucapan terima kasih kepada Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) membantu menyalur bantuan makanan.

Pada Ahad lepas Peka mengundang petugas media, aktivis, NGO menyertai lawatan ke blockade Orang Asal di Hutan Simpan Kekal Balah.

Berdasar surat jemputan diedar di media sosial mereka melawat tapak blockade di Pos Bihai, Simpang Petei dan Pos Pasik.

Menurut Peka, lawatan itu dibuat berikutan Jabatan Perhutanan Kelantan memberi notis mengosongkan blockade di kawasan kompartmen 245 pada 20 November lepas.

Bagaimanapun ketika Peka sibuk memperjuangkan nasib Orang Asal di Gua Musang, tiba-tiba kerabat NGO itu di Pahang pula meletak jawatan beramai-ramai.

Pengerusi Peka Cawangan Pahang Mohd Khaidir Ahmad pada postingnya di laman sosial mengucap ‘Selamat Tinggal Peka’.

Katanya selepas berbincang dan memikirkan dengan semasak-masaknya beliau bersama Bendahari Peka Cawangan Pahang, Saifulnizam Sulaiman dan ahli jawatankuasa Mohamad Nasir Ishak meletak jawatan berkuatkuasa 1 Disember 2016.

“Bahawa kami dengan hati yang terbuka secara sukarela meletak jawatan masing-masing secara sukarela.

“Sehubungan itu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dan sokongan kepada kami ketika menyandang jawatan berkenaan,” ujarnya.

Khaidir juga berkata, beliau dan rakan-rakan tetap akan meneruskan perjuangan alam sekitar dalam dimensi dan perspektif baharu berteras semangat ‘perjuangan rakyat marhaen untuk rakyat marhaen’. – HARAKAHDAILY 23/11/2016

Share on Myspace