Murid bukan tikus makmal

NASRUDIN HASSAN | .

UPSR 2016 menjadi tanda aras keberkesanan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Selepas sudah 6 tahun (2011-2016) pelaksanaannya, sepatutnya ia memberikan kesan yang memberangsangkan terhadap  pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan pada diri murid-murid untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.

Mengejutkan, hanya 4,896 (1.11%) orang murid sahaja yang mendapat semua A daripada 452,721 orang calon.

Sehinggakan, sekolah menengah bertaraf Sekolah Berasrama Penuh (SBP) merendahkan syarat kelayakan kemasukan ke sekolah itu kepada minimum 3A dan 3B.

Persoalannya, sebernarnya apa yang berlaku?

(i) KSSR gagal mencapai objektinya atau

(ii) UPSR 2016 terlalu ‘advance’, melampaui keupayaan normal murid berusia 12 tahun pada masa ini atau

(iii) murid-murid tahun 6 ini memang tidak mencapai standard yang sepatutnya?

Setakat apa yang boleh difahami daripada kenyataan-kenyataan oleh Menteri Pendidikan dan Ketua Pengarah Pelajaran, bukan sahaja tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan keputusan ini bahkan dikatakan bahawa keputusan itu adalah memuaskan.

Berdasarkan maklum balas ini, bererti semua kemungkinan (i), (ii) dan (iii) telah dinafikan.

Tetapi, tiba-tiba Menteri Pendidikan pada hari semalam memaklumkan bahawa keputusan sama ada UPSR akan dimansuhkan atau dikekalkan akan dibuat pada tahun hadapan selepas kajian selesai.

Sepatutnya jika menteri dan kementerian meyakini bahawa KSSR dan UPSR 2016 berada pada landasan yang betul selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, pasti menteri telah ada pendirian teguh untuk meneruskan UPSR ini pada masa hadapan juga.

Hakikatnya, sebenar-benar masalah dalam sistem pendidikan negara kita ialah dasar dan pelaksanaan yang tidak matang dan sering berubah-ubah menyebabkan murid-murid menjadi seperti ‘tikus makmal’, para guru terbeban dan ibu bapa kecewa dengan tahap pencapaian anak-anak.

Mungkin wajar dan sudah sampai masanya kementerian ini diterajui oleh barisan kepimpinan  yang pakar dan berkemahiran tinggi sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar mewujudkan kepimpinan kerajaan teknokrat, bukan hanya diserahkan teraju kementerian kepada ahli politik semata-mata.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
23 November 2016 / 23 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 23/11/2016

Share on Myspace