Rohingya: Myanmar jangan jadi negara pengganas

ZULZAIM HILMEE ABIDIN | .

SOLIDARITI UNTUK UMAT ISLAM ROHINGYA, MYANMAR JANGAN JADI NEGARA PENGGANAS

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mengajak umat Islam khususnya di negeri Sabah mengutuk tindakan kerajaan Myanmar yang membantai umat Islam Rohingya di Arakan, Myanmar. Kekejaman dan jenayah keganasan yang dilakukan oleh pihak rejim melalui junta tenteranya terhadap etnik minoriti Muslim Rohingya yang merupakan penduduk asal disifatkan bertujuan bagi penghapusan etnik dan menafikan kerakyatan mereka.

Tindakan para junta Myanmar yang bersifat agresif melakukan jenayah laksana kumpulan pengganas dengan membakar perkampungan, menyiksa, mencabul kehormatan, menembak dan menyembelih tanpa mengira kanak-kanak dan wanita perlu dihentikan segera.

Dalam situasi seperti ini, marilah kita melazimi bacaan Qunut Nazilah agar Allah memberikan bantuan kepada saudara Muslim kita di Arakan dan menghapuskan segala kebatilan yang ada di bumi Myanmar. Di samping itu, ambil pengajaran dari hadis Nabi SAW yang bermaksud; "Orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, menyayangi, dan mengasihi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga dan panas (turut merasakan sakitnya).” (H.R. Muslim).

Atas solidariti (kebersamaan) bagi kita mempertahankan hak umat Islam di bumi Arakan, Myanmar maka kami menyeru seluruh umat Islam di Malaysia dan khususnya di Sabah untuk meluangkan masa dan keprihatinan bagi bersama-sama menyertai:

1) Pra-Himpunan Bantahan Kekejaman Terhadap Umat Islam pada 25 November 2016 (Jumaat) selepas solat Jumaat di pekarangan Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.

2) Himpunan Solidariti Ummah yang diadakan pada 26 November 2016 (Sabtu) selepas solat Zohor di pekarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Semoga dengan kehadiran semua, ini membuktikan keprihatinan kita dan menjadi suatu tekanan yang kuat untuk menghentikan jenayah keganasan yang dilakukan kepada umat Islam di Myanmar.

ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah
23 November 2016 | 23 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 23/11/2016

Share on Myspace