RUU 355: PAS sedia bentang bila-bila masa

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: PAS bersedia pada bila-bila masa sahaja membentang pindaan Rang Undang-Undang Akta 355 (RUU 355) bagi bacaan kali kedua sekiranya diberi laluan pada persidangan parlimen kali ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah berkata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan membentangkan usul berkenaan apabila dibenarkan Speaker Dewan Rakyat.

“Pihak kami telah membuat persiapan untuk membentangkan RUU 355 dan ucapan menyokong usul itu,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, hari ini.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata RUU 355 tetap dibentang bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat minggu ini.

Usul persendirian itu dibentang kali pertama pada 26 Mei lepas oleh anggota parlimen Marang selepas diberi laluan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mohd Amar juga berkata apa yang penting usul tersebut dapat dibentang bagi bacaan kali kedua.

“Kita tak jangka apa-apa tentangan dari mana-mana pihak, yang penting kita boleh bentang sebab masalah kita jika tidak boleh dibentang.

“Kalau boleh bentang, terserahlah sebab di parlimen bebas, sama ada ahli hendak bahas, sokong atau pun bangkang.

“Jika ada pihak menentang RUU 355, PAS tak boleh melarangnya,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan RUU 355 merupakan isu agama dan melangkaui sempadan politik.

Menurutnya mana-mana ahli parlimen yang beragama Islam sewajarnya menyokong usul itu.

“Bagi ahli-ahli parlimen yang tidak beragama Islam jika mereka boleh mengambil sikap tidak menentang itu lebih baik.

“Ini kerana RUU 355 untuk orang Islam dan tidak bersangkut paut dengan masyarakat bukan Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2016

Share on Myspace