Rohingya: Wujudkan tentera pengaman negara Islam

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pasukan tentera pengaman negara-negara Islam perlu ditubuhkan segera, kata Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Katanya, kejadian pembersihan etnik masyarakat Islam Rohingya di Myanmar sepatutnya telah membuka mata pemimpin-pemimpin negara Islam.

Menurutnya, walaupun telah ada tentera pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu namun ia bukan di bawah kawalan negara-negara Islam.

"Hari ini terdapat umat Islam yang merupakan minoriti di negara mereka yang berhadapan dengan ancaman-ancaman pembersihan etnik, pembunuhan beramai-ramai atau pengusiran dari kampung halaman mereka," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, tanpa campur tangan pasukan tentera pengaman mereka tidak akan mendapat pembelaaan yang sewajarnya.

"Cukuplah dengan pengalaman pembersihan etnik umat Islam Bosnia di Balkan pada awal 90-an," katanya.

Beliau berkata, walaupun bilangan tentera pasukan tersebut adalah kecil pada peringkat awal namun ia memberi isyarat kepada dunia bahawa nasib minoriti umat Islam akan sentiasa dibela. - HARAKAHDAILY 23/11/2016

Share on Myspace