Muslimat PAS seru semua bersolidariti untuk ummah

HARAKAHDAILY | .

Firman yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. [Surah Ali Imran: 103]

Menyedari pergolakan panjang yang berlaku di Syria dan Palestin, serta penindasan terhadap rakyat Rohingya di Myanmar, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru dan mengajak seluruh Muslimat PAS khususnya serta seluruh rakyat Malaysia tidak kira daripada pelosok mana agar bersama-sama bersolidariti pada Sabtu ini, 26 November 2016 di pekarangan Masjid Negara bermula jam 1.00 petang.

Umat Islam itu hakikatnya bersaudara walaupun berlainan warna kulit, negara dan bahasa. Sebagai saudara yang prihatin terhadap derita saudaranya, kita mesti berusaha untuk membantu mereka dalam apa jua cara semampunya. Selain memberikan sumbangan kepada mereka yang tertindas, munajat, solat hajat dan solidariti juga antara usaha yang boleh dilaksanakan.

Himpunan Solidariti Ummah ini merupakan inisiatif tiga (3) dewan iaitu Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dengan kerjasama Lajnah Penerangan PAS Pusat serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Himpunan yang dimulai dengan solat Zohor secara berjemaah, diteruskan dengan solat hajat dan munajat serta pidato pimpinan. Besar harapan kami mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia dapat turun bersama bersolidariti Sabtu ini.

Semoga usaha kecil ini dinilai oleh Allah dan mendapat keberkatan dan bantuan dari tangan-tangan penolong Allah. Amin.

Ayuh! Turun bersama-sama Sabtu ini tanda sokongan, dukungan dan bersolidariti untuk mereka yang sangat memerlukan bantuan dari kita rakyat Malaysia! - HARAKAHDAILY 24/11/2016

Share on Myspace